Penduduk bantah menara telekomunikasi tanpa kelulusan

KLANG - Penduduk Taman Bukit Jati di sini membantah pembinaan sebuah menara telekomunikasi yang didakwa didirikan tanpa kelulusan di atas tanah rizab kerajaan.
Penduduk, Badrol Hisham Abdul Hamid, 64, berkata, menara itu terletak kira-kira 100 meter dari kawasan perumahan dengan kira-kira lebih 4,000 penduduk di kawasan itu selain beberapa taman perumahan dan kampung berhampiran.
Menurutnya, penduduk bimbang terhadap kemungkinan kesan radiasi daripada pemancar itu terhadap kesihatan lebih-lebih lagi kawasan itu dihuni ramai warga emas.
"Kami tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai pembinaan menara ini, namun isu utama ialah status tanah rizab kerajaan dan prosedur kelulusan yang tidak dipatuhi, selain kebimbangan kesihatan penduduk," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Jati, Aminudin Mokmin meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan memastikan sebarang pemasangan infrastruktur telekomunikasi selepas ini mematuhi prosedur ditetapkan serta dimaklumkan kepada komuniti setempat.
Ujar beliau, struktur pemancar itu dikesan kira-kira tiga minggu lalu selepas jawatankuasa penduduk taman itu menerima maklumat mengenainya sebelum membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Menurutnya, susulan aduan itu, MBDK telah menjalankan pemeriksaan tapak sebelum tindakan sita dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada 7 Januari lalu.
"Semakan MBDK mendapati pencawang dibina di atas tanah rizab kerajaan dan tiada permohonan atau dokumen kelulusan dikemukakan oleh penyedia telekomunikasi kepada pihak berkuasa tempatan.
"Kami difahamkan pemasangan pemancar telekomunikasi perlu melalui Pejabat Tanah dan Daerah serta MBDK, namun dalam kes ini struktur sudah dipacak dan didakwa beroperasi sebelum kelulusan diperoleh," tambah beliau.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada MBDK berhubung aduan berkenaan.
Sementara itu, hasil tinjauan mendapati satu notis rasmi MBDK bertarikh 30 Januari lalu ditampal pada struktur menara telekomunikasi jenis ‘smartpole’ setinggi 24 meter yang didirikan di atas Lot 60458, tanah lapang dan rekreasi di Jalan Bukit Jati 1A.
Notis di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) menyatakan struktur itu dibina tanpa mendapatkan Permit Struktur Sementara daripada PBT.
Menurut kandungan notis itu, lawatan tapak dilakukan pada 7 Januari lalu dan pemeriksaan mendapati menara telekomunikasi berkenaan telah dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
"Tiada seseorang boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan," tulis notis terbabit.
Sehubungan itu, syarikat terbabit diarahkan mengemukakan pelan dan mendapatkan kebenaran bertulis daripada MBDK dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Ringkasan AI
- Penduduk Taman Bukit Jati membantah pembinaan menara telekomunikasi yang didirikan tanpa kelulusan di atas tanah rizab kerajaan
- Menara itu terletak kira-kira 100 meter dari kawasan perumahan dengan lebih 4,000 penduduk dan beberapa taman perumahan serta kampung berhampiran
- Penduduk bimbang terhadap kesan radiasi pemancar terhadap kesihatan terutamanya warga emas
- Pengerusi Persatuan Penduduk meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan memastikan pemasangan infrastruktur telekomunikasi mematuhi prosedur
- MBDK mendapati menara telekomunikasi dibina tanpa kelulusan dan syarikat terbabit diberi 30 hari untuk mengemukakan pelan dan mendapatkan kebenaran bertulis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

