Uncle Kittu terharu dirai murid di hari terakhir bertugas

Seorang murid SK Bandar Baru Putera (kiri), Jalan Bercham, Ipoh memeluk Kittu ketika diraikan pada majlis perpisahan yang diadakan pada Khamis. Tangkap layar murid-murid SK Bandar Baru Putera (kanan), Ipoh bersalaman dengan Kittu yang telah berhenti bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.
Seorang murid SK Bandar Baru Putera (kiri), Jalan Bercham, Ipoh memeluk Kittu ketika diraikan pada majlis perpisahan yang diadakan pada Khamis. Tangkap layar murid-murid SK Bandar Baru Putera (kanan), Ipoh bersalaman dengan Kittu yang telah berhenti bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.
A
A
A

IPOH - "Saya anggap warga sekolah ini seperti keluarga."

Itu luahan seorang pengawal keselamatan yang diraikan dalam majlis perpisahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Putera, Jalan Bercham di sini pada Khamis.

Rakaman video lelaki yang dipanggil 'Uncle Kittu' tular di media sosial hingga menyentuh jiwa netizen yang terharu melihat hubungan erat dijalin bersama murid-murid Tahun 1 hingga Tahun 6 itu.

Menurut K Kittu, 50, majlis perpisahan itu menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan apabila diraikan bersama murid-murid dan guru-guru setelah berkhidmat selama enam tahun di sekolah berkenaan.

"Saya terpaksa berhenti kerana sudah berpindah di di Taman Seri Klebang.

Sekolah ini agak jauh untuk berulang-alik dari sana.

"Saya tidak sangka majlis perpisahan yang diadakan sangat meriah dengan kehadiran murid-murid sekolah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Kittu yang juga bekas pemandu lori berkata, majlis perpisahan itu menyebabkan dia berasa terharu dan berat hati untuk meninggalkan tempat tugasnya itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya menangis ketika murid-murid bersalam dan menerima banyak hadiah daripada mereka hingga penuh kereta.

"Paling diingati surat-surat yang diberikan murid dan mesej diterima yang mengingatkan saya jaga kesihatan," katanya.

Tambah Kittu, dia tahu video sambutan itu tular selepas diberitahu oleh ahli keluarga.

"Saya tidak pandai lihat video di aplikasi (media sosial), anak-anak dan isteri yang tunjukkan malah, mesej dan komen warganet dibacakan mereka.

"Saya akan merindui tugas saya menyambut kehadiran murid-murid ke sekolah seawal jam 6.30 pagi dan membantu mereka melintas jalan ketika waktu sesak," katanya.

Tambah bapa kepada empat anak itu, dia kini menunggu panggilan kerja sebagai pengawal keselamatan di sekitar kawasan berhampiran kediamannya.

Sementara itu, pelayar TikTok menggunakan akaun nina0_ mengakui Kittu seorang pengawal yang baik dan berasa sedih apabila lelaki itu berpindah.

"Baik sangat.....kami ibu bapa pun sedih dia pindah apatah lagi murid-murid. Seorang guard yang sangat bertanggungjawab.

"Sedih sangat dia tak ada. Masih terbayang bayang dia dekat jalan raya sedang jaga lalu lintas," komennya.

Pengguna akaun, AraMia rose pula mendakwa menangis menonton video tular tersebut.

"Pertama kali aku tengok sekolah buat majlis perpisahan dengan Pak Guard. Mesti Uncle Kittu ni baik sangat-sangat sampai nangis aku wei," katanya.

Pelayar akaun, ummiof3gegels pula berkata, anak-anak sampai bertanya di mana Uncle Kittu apabila lelaki itu mengambil cuti seminggu sempena Deepavali.

"Betul Uncle ni baik dan mesra pelajar, kami waris pun rasa sedih.

"Masa Deepavali baru ini seminggu Uncle cuti pun anak-anak duk tanya mana Uncle.

Pengguna TikTok yang menggunakan akaun Dqisya Shop pula berkata, ibu bapa terasa berat melepaskan Uncle Kittu.

"Moga sentiasa sihat dan gembira dekat tempat baharu.

"Sangat membantu memudahkan kami ibu bapa ni.Kadang kami baru 'parking' dia dah siap panggil anak.Dia dah macam tau majoriti nama anak-anak yang sekolah sini," komennya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!