Tiada lagi cahaya Deepavali selepas kehilangan anak

Nirmala menunjukkan gambar mendiang Subash yang sudah tiga tahun meninggalkannya sekeluarga.
Nirmala menunjukkan gambar mendiang Subash yang sudah tiga tahun meninggalkannya sekeluarga.
A
A
A

IPOH – Sambutan Deepavali yang sepatutnya menjadi detik menggembirakan buat seorang ibu menjadi suram sejak kehilangan anak sulungnya dalam kemalangan jalan raya tiga tahun lalu.

Bagi Nirmala Devi Raja Selvan, 42, cahaya di sebalik perayaan itu terus malap kerana masih diselubungi kesedihan disebabkan peristiwa tragis itu.

Lebih memilukan, tragedi yang meragut nyawa anaknya, NK Subash Varman, 16, pada 14 November 2023 itu masih meninggalkan kesan mendalam sehingga Nirmala mengakui tidak lagi mempunyai hati untuk menyambut perayaan berkenaan.

Menurutnya, kenangan bersama anaknya yang banyak membantu keluarga, termasuk sebelum kejadian berlaku masih segar dalam ingatan.

"Memang sampai mati saya tidak boleh lupa. Masa itu dia balik bercuti sempena Deepavali dan sempat bersama saya pada hari pertama Deepavali sebelum kembali bekerja.

"Dia ada beri saya RM800, beli kambing, ayam dan barang keperluan untuk kami. Dia juga mahu bawa saya pergi membeli-belah, tetapi saya tidak sempat membeli apa-apa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Baru Putra di sini pada Sabtu.

Nirmala berkata, anaknya yang bekerja di Pulau Pinang itu seorang yang bertanggungjawab serta sentiasa berusaha menjaga kebajikan keluarga.

Bagaimanapun, kemalangan membabitkan sebuah lori sampah yang menyebabkan kereta jenis Proton Perdana dinaiki anaknya bersama dua sepupu, M. Krishna, 20, dan Pavilesh, 16, terbakar mengubah kehidupan mereka sekelip mata.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mereka disahkan maut.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nirmala, dia masih menyimpan barangan peninggalan mendiang anaknya sebagai kenangan.

Katanya, setiap kali Deepavali makanan kegemaran mendiang yang diingati antaranya nasi lemak sambal petai serta nasi minyak sapi bersama ayam sambal.

Dalam pada itu, kehidupannya kini semakin mencabar apabila terpaksa berpindah ke rumah baharu bersama anak perempuannya, Theevashiny Nantha Kumar, 11, dan seorang anak saudara berusia 13 tahun yang dijaganya sejak kecil.

Nirmala berkata, mereka baru seminggu menetap di rumah berkenaan susulan masalah rumah tangga, selain suaminya sudah kira-kira lima bulan tidak tinggal bersama keluarga.

Lebih membebankan, dia tidak mempunyai dapur memasak, tong gas serta barangan keperluan asas untuk menyediakan makanan sendiri.

"Sekarang saya tidak ada gas, barang makanan dan barang dapur. Kalau ada dapur, gas dan periuk, saya boleh masak sendiri," katanya.

Nirmala yang bekerja secara sambilan sebagai penjaga warga emas memperoleh pendapatan tidak menentu sekitar RM300 seminggu bergantung kepada jumlah hari bekerja.

Muhammad Arafat (dua dari kiri) memberikan sumbangan kepada Nirmala (kanan) sekeluarga sempena Deepavali ketika kunjungan di rumahnya di Bandar Baru Putra.
Muhammad Arafat (dua dari kiri) memberikan sumbangan kepada Nirmala (kanan) sekeluarga sempena Deepavali ketika kunjungan di rumahnya di Bandar Baru Putra.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Variasi Mahamad berkata, pihaknya akan mengumpulkan dokumen berkaitan bagi mengenal pasti bentuk bantuan bersesuaian untuk keluarga berkenaan.

Menurutnya, bantuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan akan diteliti berdasarkan keadaan serta kelayakan keluarga itu.

"Setakat ini kita akan kumpulkan dokumen dahulu dan melihat platform agensi mana yang boleh digunakan untuk membantu beliau, termasuk bantuan bulanan JKM.

"Buat permulaan, kita sumbangkan wang untuk persatuan menguruskan pembelian dapur, tong gas, barangan keperluan serta perkakas memasak asas. Kita turut serahkan sumbangan wang untuk membeli pakaian dan keperluan Deepavali," katanya.

Beliau berkata, perbincangan lanjut mengenai bantuan bulanan menerusi agensi berkaitan akan dilakukan selepas sambutan Deepavali.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!