Sultan Perak kurnia makan tengah hari 8,960 banduan

Sultan Nazrin. Foto fail Bernama
Sultan Nazrin. Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari kepada 8,960 banduan dan penghuni institusi pemulihan di Perak sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-70 pada Jumaat.

Pembiayaan itu mencerminkan keprihatinan dan keprihatinan berterusan Sultan Nazrin terhadap kebajikan banduan serta tahanan yang sedang menjalani hukuman di institusi penjara dan pusat koreksional di negeri ini.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, inisiatif berkenaan melibatkan tujuh institusi termasuk Penjara Tapah, Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Kamunting.

Turut menerima manfaat ialah Pusat Koreksional dan Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Pusat Koreksional Chenderiang, Penjara Satelit Kuala Kangsar serta Rumah Perantaraan Perak.

Menurutnya, program itu akan dikelolakan oleh Jabatan Penjara Negeri Perak dengan hidangan disediakan kepada semua banduan tanpa mengira jenis kesalahan.

"Antara hidangan yang disediakan termasuk gulai ayam, sayur-sayuran dan makanan lain sebagai tambahan kepada sajian biasa yang disediakan pihak penjara.

"Ini merupakan tahun keempat inisiatif berkenaan dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Mohd Zahidi berkata, sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak akan dimulakan dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh selepas solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, majlis sama turut diadakan di semua masid di 12 jajahan negeri dengan diketuai Orang Besar Jajahan bersama pegawai daerah masing-masing.

Beliau turut menyarankan rakyat negeri ini mengibarkan bendera Perak di bangunan pejabat, premis perniagaan dan kediaman masing-masing selain memasang lampu pada waktu malam bagi menyemarakkan sambutan berkenaan.

"Kita mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemilik premis perniagaan dan jabatan kerajaan untuk bersama-sama menunjukkan taat setia kepada Sultan Perak menerusi pengibaran bendera negeri," katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak kepada 218 penerima sempena sambutan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!