Hari sukan sekolah 8 murid meriah disertai penduduk kampung

Sebahagian ibu bapa dan penduduk kampung bersama-sama murid yang menyertai Kejohanan Sukan StarBak Bersama Komuniti di SK Tebing Rebak di sini pada Ahad.
Sebahagian ibu bapa dan penduduk kampung bersama-sama murid yang menyertai Kejohanan Sukan StarBak Bersama Komuniti di SK Tebing Rebak di sini pada Ahad.
A
A
A

BAGAN DATUK - [DIKEMAS KINI] Mempunyai hanya lapan orang murid, ia tidak menghalang Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak mengadakan Kejohanan Sukan StarBak Bersama Komuniti yang berlangsung meriah apabila turut disertai penduduk kampung.

Guru Besar sekolah berkenaan, Zaiton Hashim berkata, idea tersebut terlintas kerana lebih 10 tahun sekolah berkenaan tidak menganjurkan kejohanan sukan kerana kekurangan murid.

Namun beliau tidak menyangka jemputan kepada penduduk kampung untuk turut serta di dalam kejohanan sukan itu mendapat sambutan luar biasa.

"Sebenarnya saya nak murid-murid sekolah ini rasa pengalaman kejohanan sukan sekolah seperti sekolah-sekolah lain. Bila orang kampung, ibu bapa dan belia turut sama masuk dalam rumah sukan sekolah, acara jadi meriah. Memang tak sangka dapat sambutan.

"Kita ada empat rumah sukan. Setiap rumah sukan ada ahli seramai 20 orang terdiri daripada murid, ibu bapa, belia dan penduduk kampung. Mereka juga masuk acara yang dipertandingkan dan murid dapat rasai kejohanan sukan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Selain murid sekolah berkenaan, orang dewasa juga turut menyertai perbarisan sempena Kejohanan Sukan StarBak Bersama Komuniti di SK Tebing Rebak di sini pada Ahad.
Selain murid sekolah berkenaan, orang dewasa juga turut menyertai perbarisan sempena Kejohanan Sukan StarBak Bersama Komuniti di SK Tebing Rebak di sini pada Ahad.

Zaiton berkata, antara acara dipertandingkan termasuklah 60 meter tahap satu dan tahap dua, 4x100 meter menggabungkan murid, belia dan veteran serta acara 4x100 meter dewasa.

Menurutnya, lebih menarik lagi, acara perbarisan juga diadakan dengan turut disertai oleh semua ahli rumah sukan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Jemputan ini kita uar-uarkan melalui WhatsApp dan hebahan risalah sahaja. Tapi disebabkan jemputan kawan atas kawan untuk memeriahkan acara, ramai yang dapat hadir.

"Walaupun sekolah ini kurang murid, tetapi semangat mereka serta sokongan komuniti sangat baik," katanya.

Zaiton berkata, kejohanan sukan yang diadakan pada pagi Ahad itu dirasmikan Ketua Polis Balai Hutan Melintang, Inspektor Azlan Syah Ahmad.

Sebahagian acara yang dipertandingkan untuk golongan dewasa sempena Kejohanan Sukan StarBak Bersama Komuniti di SK Tebing Rebak di sini pada Ahad.
Sebahagian acara yang dipertandingkan untuk golongan dewasa sempena Kejohanan Sukan StarBak Bersama Komuniti di SK Tebing Rebak di sini pada Ahad.

Jelasnya, melihat kepada kemeriahan dan sokongan yang diberikan, pihaknya berhasrat untuk meneruskan kejohanan itu setiap tahun selain mengadakan aktiviti lain bersama masyarakat setempat seperti hari keluarga dan sebagainya.

Sementara itu, beliau menjelaskan murid sekolah tersebut terdiri daripada lima orang perempuan dan dua lelaki dengan Tahun Dua serta Tahun Enam mempunyai dua murid manakala yang lain hanya seorang murid.

Menurutnya, SK Tebing Rebak itu juga mempunyai lima orang guru.