Anthony Loke lepas jawatan Menteri Pengangkutan serta-merta

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.
Dalam kenyataan lima perenggan, Anthony berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lalu.
“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat dalam Jemaah Menteri sejak Disember 2022.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib jalani penjara di rumah serta-merta hari ini - Hakim Mahkamah Tinggi
Peguam Negara didesak tarik balik arahan tangguh tahanan rumah Najib - Veteran UMNO
Pemuda UMNO negeri, bahagian lapor polis isu ingkar titah Agong
UMNO, Pas Machang lapor polis isu pengampunan Najib
Keputusan pengampunan mesti dilaksana ikut undang-undang – Ka Siong
BN gesa laksana titah perintah Agong segera
Anthony juga mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan (MOT) atas komitmen dan kerjasama sepanjang tempoh beliau menerajui kementerian berkenaan.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar.
"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar dan segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat," jelasnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.
Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi membatalkan perintah pelepasan Jumaat lalu dan menggantikannya dengan perintah pelepasan baharu terhadap bekas Presiden UMNO berusia 73 tahun itu.
Anthony sebelum ini menegaskan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjejak kaki ke kediamannya.
Menurutnya, pendiriannya untuk meletakkan jawatan tidak berubah meskipun pembayaran denda RM50 juta Najib itu telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi pada pagi Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

