Pemimpin DAP zahir solidariti kepada Anthony Loke

SHAH ALAM – Beberapa pemimpin DAP menunjukkan solidariti terhadap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke susulan keputusannya meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi hantaran di Facebook, tiga pemimpin DAP iaitu Pengarah Pilihan Raya Kebangsaan, Wong Kah Woh; Timbalan Setiausaha Agung, Hannah Yeoh dan Naib Pengerusi, Syahredzan Johan menyatakan solidariti dengan berkongsi kenyataan Anthony yang mengumumkan peletakan jawatannya.
Kah woh berkata, pendirian DAP jelas dalam menolak kleptokrasi dan memperjuangkan masa depan Malaysia yang lebih baik.
“DAP telah menyatakan pendiriannya dengan jelas dan tegas.
“Tidak kepada kleptokrat, ya kepada Malaysia yang lebih baik,” katanya pada Selasa.
Sebelum ini, Anthony mengumumkan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam kenyataan, Anthony berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lalu.
Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan telah melunaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Jabatan itu juga mahu mendapatkan satu perintah baharu, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September.
Pendakwaan selaku pemohon diwakili Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Mohd Nordin Ismail; Peguam kanan persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Siti Pervinah Mohamad Yusof.
Najib selaku responden diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
Dalam permohonan yang difailkan pada 10 November itu, AGC memohon mahkamah meneliti semula perintah berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya menepati pengampunan yang diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Sementara itu, Hannah Yeoh turut berkongsi pandangan dengan menyatakan bahawa beliau sepatutnya menjadi individu yang meletak jawatan.
“Sepatutnya saya yang melangkah keluar pada hari ini, tetapi Setiausaha Agung saya mahu kami menyelesaikan segala kerja yang telah dijanjikan kepada rakyat.
"Oleh itu, beliau sendiri yang terpaksa menanggung akibatnya,”ujarnya.
Syahredzan pula membuat hantaran ringkas merujuk kepada pendirian dan komitmen kepimpinan DAP dalam isu berkenaan.
"Janji ditepati," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

