Jeda kemanusiaan patut jadi permulaan proses keamanan berkekalan di Gaza

Kanak-kanak Palestin dilihat di kem pelarian sementara di bandar Khan Younis, selatan Genting Gaza. - Foto Xinhua
Kanak-kanak Palestin dilihat di kem pelarian sementara di bandar Khan Younis, selatan Genting Gaza. - Foto Xinhua
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jeda kemanusiaan tidak sepatutnya dianggap sebagai penyelesaian kepada konflik berlarutan di Gaza, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sebaliknya, beliau berkata, jeda kemanusiaan itu harus menjadi permulaan untuk proses keamanan dan gencatan senjata yang berkekalan.

Oleh itu, beliau berkata Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memulakan langkah yang perlu untuk memastikan penyelesaian dua negara menjadi kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa penyelesaian itu mendapat sokongan global dan turut disokong oleh banyak resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Seluruh dunia sedang memerhati dan bergantung harap kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terutama Majlis Keselamatan. Sudah teralu lama dan banyak kali badan ini mengecewakan rakyat Palestin. Kini sudah tiba masa untuk membetulkan 'kesilapan sejarah' kuasa besar yang menyebabkan pembunuhan dahsyat dan berpanjangan terhadap nyawa yang tidak bersalah dalam tempoh lebih tujuh dekad dalam sejarah moden.

"Ini adalah mesej yang jelas, bukan hanya dari rakyat Malaysia dan saya sendiri, bahkan daripada semua penduduk dunia yang mencintai perdamaian," kata Zambry semasa menyampaikan Kenyataan Negara di Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di New York pada Rabu.

Beliau mengulangi bahawa satu-satunya cara untuk mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap soal Palestin adalah dengan memberikan mereka hak mutlak yang tidak boleh dinafikan untuk menentukan masa depan mereka sendiri, melalui penubuhan negara Palestin yang bebas dan merdeka, berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Jeda kemanusiaan yang dicapai di Gaza hasil pengantaraan Qatar pada 22 November, bermula pada 7 pagi Jumaat, sebelum dilanjutkan selama dua hari pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Luar Qatar pada 30 November mengumumkan bahawa gencatan senjata itu dilanjutkan selama satu hari lagi pada Khamis. - Bernama