Penduduk Gaza mahu gencatan senjata kekal

Hampir 1.6 juta penduduk Palestin hilang tempat tinggal akibat peperangan yang berlarutan selama tujuh minggu di Gaza.
Hampir 1.6 juta penduduk Palestin hilang tempat tinggal akibat peperangan yang berlarutan selama tujuh minggu di Gaza.
A
A
A

GENTING GAZA - Ayman Harb kini terperangkap bersama keluarganya di kawasan kejiranan Shujayea di Bandar Gaza sejak lebih sebulan lalu.

Sebelum jeda kemanusiaan selama 96 jam berkuat kuasa pada minggu lalu, bapa kepada tiga anak itu merancang untuk melarikan diri.

Salah seorang anaknya menghidapi palsy serebrum yang memerlukan bantuan oksigen.

Askar rejim Zionis bagaimanapun mengancam untuk melepaskan tembakan jika dia tidak membuang tangki oksigen yang digunakan anaknya.

Kini, Harb hanya mempunyai satu harapan iaitu pelaksanaan gencatan senjata secara kekal bagi membolehkan dia sekeluarga kembali ke rumah mereka.

Keadaan di Wadi Gaza yang musnah akibat kempen pengeboman ganas Israel.
Keadaan di Wadi Gaza yang musnah akibat kempen pengeboman ganas Israel.

Keputusan pelanjutan tempoh bertenang selama 48 jam lagi bukanlah khabar gembira buat hampir 1.6 juta penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.

Kebanyakannya berharap dapat pulang semula ke kediaman masing-masing walaupun ia mungkin sudah musnah dibedil rejim Zionis.

Artikel Berkaitan:

Beberapa keluarga cuba untuk kembali ke utara, namun ia dihalang penembak tepat Israel yang ditempatkan sekitar wilayah terkepung itu.

"Saya berlindung bersama kira-kira 20 yang lain di bawah khemah bersebelahan ambulans di pekarangan Hospital al-Aqsa selama seminggu," kata Harb sambil menambah dia menghantar isteri dan dua anaknya tinggal di rumah saudaranya selepas khemah mereka kini basah kuyup akibat hujan.

Kebanyakan penduduk Gaza kini berlindung di kawasan pekarangan hospital.
Kebanyakan penduduk Gaza kini berlindung di kawasan pekarangan hospital.

Jeda kemanusiaan singkat itu akhirnya menyaksikan ruang udara menjadi lebih 'tenang' tanpa bunyi dron atau jet pejuang Israel yang sentiasa berlegar-legar sejak tujuh minggu lalu.

"Benar, kempen pengeboman telah berhenti. Tetapi, kami memerlukan pelaksanaan gencatan senjata kekal. Jika tidak, tiada gunanya.

"Saya lebih sanggup kembali ke rumah sendiri daripada tinggal di bawah khemah serba daif dan bergantung kepada bantuan untuk mendapatkan keperluan asas," jelasnya yang terpaksa mengemis demi untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan, air dan makanan.

Tiada siapa hulur bantuan

Ibu kepada 10 anak, Imm Shadi al-Taher, 63, juga senasib dengan Harb yang dipaksa meninggalkan kediamannya di Tall az-Zaatar di Bandar Gaza, tiga minggu lalu.

"Lihatlah keadaan kami sekarang, tiada siapa yang datang untuk hulur bantuan," ujarnya yang berlindung di bawah khemah di kawasan hospital bersama 25 ahli keluarganya.

Wanita itu juga mengakui sangat lega kerana tidak lagi mendengar bunyi dron, jet pejuang atau bedilan artileri secara bertalu-talu.

"Cucu-cucu saya tidak lagi berasa takut. Tetapi, kami juga tidak mahu berjauhan dari rumah yang sudah musnah. Saya sanggup tinggal di tapak asal rumah kami tanpa perlu meminta bantuan sesiapa pun.

"Saya juga mahu kembali untuk mengebumikan ahli keluarga yang gugur syahid," katanya.

Bagi Noor Saadeh, 23, jeda kemanusiaan sahaja tidak mencukupi.

"Kami mahukan kehidupan yang lama dan dapat pulang semula ke rumah," jelasnya.

Wanita itu juga bimbang dengan ketibaan musim sejuk yang dijangka memburukkan lagi keadaan mereka.

"Saya terpaksa mencari pakaian yang bersesuaian untuk anak-anak saya. Kami sebenarnya tidak menjangka akan berada di sini untuk tempoh yang lama," menurut ibu kepada dua anak itu lagi. - Agensi