[VIDEO] Skim lantikan Gred 19 perlu berubah selepas 73 tahun - MTUC

A
A
A

JOHOR BAHRU - Skim perkhidmatan pembantu tadbir perlu disemak dan ditambah baik melalui sistem saraan baharu berikutan ia masih kekal pada gred lantikan 19 sejak hampir 73 tahun lalu.

Naib Presiden (Sektor Awam) Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Asman Mohd Nawawi berkata, syarat kelayakan lantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sejajar dengan peningkatan taraf pendidikan pada masa kini.

Asman (kiri) dan Amir Hamzah ( dua dari kiri) berbincang dengan kakitangan awam pada Program Transformasi Pembantu Tadbir Cemerlang Perkhidmatan Awam Johor, di sebuah hotel di Johor Bahru pada Khamis.
Asman (kiri) dan Amir Hamzah ( dua dari kiri) berbincang dengan kakitangan awam pada Program Transformasi Pembantu Tadbir Cemerlang Perkhidmatan Awam Johor, di sebuah hotel di Johor Bahru pada Khamis.

Beliau berkata, dalam kalangan penjawat awam kini sudah ada yang memiliki diploma, sarjana muda, sarjana sehingga doktor falsafah (PHD).

"Saya dapati syarat kelayakan lantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk jawatan itu juga tidak berubah sejak 73 tahun lalu.

"Keadaan ini menyebabkan tangga gaji Gred 19 skim perkhidmatan pembantu tadbir contohnya bermula RM1,352 tidak termasuk elaun dan ia berada pada tahap paras kemiskinan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Asman ( tengah) bersama kakitangan awam pada Program Transformasi Pembantu Tadbir Cemerlang Perkhidmatan Awam Johor, di sebuah hotel di Johor Bahru pada Khamis.
Asman ( tengah) bersama kakitangan awam pada Program Transformasi Pembantu Tadbir Cemerlang Perkhidmatan Awam Johor, di sebuah hotel di Johor Bahru pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas Program Transformasi Pembantu Tadbir Cemerlang Perkhidmatan Awam Johor, di sebuah hotel pada Khamis.

Asman yang juga Presiden Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Kebangsaan berkata, tangga gaji tersebut dirasakan tidak selari dengan tanggungjawab perkhidmatan yang semakin bertambah.

"Seramai 350,000 pembantu tadbir di seluruh negara memainkan peranan cukup penting dan menjadi tulang belakang kepada sektor perkhidmatan awam negara.

"Kami dimaklumkan alasan utama tiada semakan semula skim ini berikutan ia membabitkan implikasi kewangan yang sangat besar, namun ia sebenarnya langkah penjimatan kerana kerajaan dapat menyusun semula perkhidmatan kerana ada banyak skop tugas penjawat awam sebenarnya yang bertindih.

"Ia termasuk dapat mengurangkan hierarki penyeliaan yang kini mempunyai enam lapisan sebelum arahan tugas dapat diberikan kepada pembantu tadbir sekali gus menjimatkan tanggungan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung (AUEGCAS) Kebangsaan, Amir Hamzah Yakat Ali turut berharap skim perkhidmatan pembantu tadbir ditambah baik.

Jelasnya, pertemuan telah diadakan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memohon agar semakan semula skim perkhidmatan pembantu tadbir terutama syarat lantikan

"Kami berharap syarat lantikan gred dapat berubah iaitu kenaikan Gred 19 kepada Gred 29 kerana kelayakan masuk terdahulu mengikut SPM.

"Ini kerana penjawat awam kini memiliki taraf pendidikan lebih tinggi apatah lagi tanggungjawab kerja yang semakin bertambah," katanya.

Pada Julai tahun lalu, CUEPACS menggesa kerajaan menaikkan Gred 19 kepada Gred 29 dan menyatakan pihaknya mahu berpiket di Putrajaya bersama penjawat awam.

Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah dilaporkan berkata, tempoh pandemik Covid-19 yang dilalui dua tahun lalu memungkinkan proses semakan gaji kakitangan kerajaan yang sepatutnya dilaksanakan setiap lima tahun sekali ditangguhkan daripada kitaran tahun sepatutnya.

Borhan berkata, semakan gaji sebelum ini pada 2015 dan semakan sepatutnya dibuat pada 2020.