Bersara lebih 'bermaruah' melalui i-saraan

Ahmad (kiri) beramah mesra bersama kakitangan KWSP Kota Bharu ketika lawatan rasmi beliau pada Isnin.
Ahmad (kiri) beramah mesra bersama kakitangan KWSP Kota Bharu ketika lawatan rasmi beliau pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Golongan bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap di negara ini memerlukan simpanan minimum sebanyak RM240,000 bagi memastikan mereka bersara secara 'bermaruah'.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, justeru golongan itu boleh memilih i-saraan Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) yang mempunyai insentif sebanyak RM300 setahun daripada kerajaan selepas mencarum pada kadar minimum RM2,000.

Menurut beliau, pesara kerajaan juga boleh mencarum i-saraan dengan mencarum secara sukarela melalui wang pencen mereka.

"Saya syorkan mereka yang berada dalam sektor tidak formal seperti nelayan, penoreh getah, peniaga pasar dan pekerja e-hailing memilih i-saraan supaya mereka dapat bersara dengan 'bermaruah' dan mempunyai simpanan mencukupi pada hari tua.

"Bagi membolehkan simpanan sejumlah itu, pekerja boleh membuat caruman secara sukarela selain bekerja dengan syarikat yang memberi gaji lebih tinggi," katanya ketika Lawatan Kerja Rasmi di KWSP Kota Bharu pada Isnin.

Jelas beliau, sehingga tahun ini lebih 500,000 rakyat negara ini mencarum dalam i-saraan.

Ahmad (kanan) bertanya khabar kakitangan di kaunter KWSP pada Isnin.
Ahmad (kanan) bertanya khabar kakitangan di kaunter KWSP pada Isnin.

Ahmad berkata, mereka perlu celik kewangan dan memikirkan masa depan serta boleh membelanjakan RM1,000 sebulan selepas bersara pada usia 55 tahun.

Pada masa sama, beliau memberitahu, caruman i-saraan di Kelantan masih rendah dan berharap pekerja tidak rasmi mencarum untuk masa depan mereka.

"Kita mahu komitmen rakyat Kelantan kerana mereka perlu mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 26 kaunter bergerak dilancarkan pada 4 Julai lalu bertujuan menghebahkan maklumat berkaitan caruman sukarela itu di Wilayah Timur terutama di kawasan pedalaman.

"Kita mahu pencarum menerima khidmat nasihat sekali gus membantu ahli KWSP celik kewangan untuk persaraan yang lebih baik," katanya.