JPA bangunkan portal untuk cadangan kajian sistem saraan

Penjawat awam. - Gambar hiasan
Penjawat awam. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membangunkan portal kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi memastikan cadangan penambahbaikan yang diterima bersifat terangkum serta inklusif.

Menerusi kenyataan pada Selasa JPA memaklumkan, segala cadangan penambahbaikan serta pembaharuan boleh dikemukakan melalui https://semakansaraan.jpa.gov.my.

Langkah itu dibuat susulan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam.

"JPA sedang memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sejak 26 Julai lalu melalui beberapa sesi libat urus," kata jabatan itu.

Sesi libat urus itu merangkumi enam kluster iaitu keselamatan, kesihatan, pendidikan, sains dan teknologi, teknikal serta pengurusan.

"Satu Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) akan diadakan Isnin depan untuk membincangkan kajian SSPA sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi membangun Malaysia Madani," katanya.

Pada 14 Julai lalu, kerajaan bersetuju mengkaji semula sistem itu dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan tiadanya semakan gaji dibuat sejak 2012.