[VIDEO] Pengguguran peruntukan GEG dibuat secara kolektif - Dr Zaliha

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguguran peruntukan berkaitan Generasi Penamat Rokok (GEG) yang terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibuat secara kolektif atau kebertanggungjawaban bersama oleh pihak kerajaan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ini kerana konsep GEG yang ingin dilaksanakan itu menyebabkan layan yang berbeza terhadap dua kumpulan tidak kira tahun yang ditetapkan.

“Merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG dengan memberi layanan yang berbeza terhadap seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 berbanding dengan layanan terhadap orang yang lahir selepas 1 Januari 2007.

“Oleh itu, pihak jabatan peguam negara mempunyai pandangan bahawa peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah kerana bercanggah dengan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun betul (kenyataan) ahli Parlimen yang menggubal undang-undang dan menentukan polisi seperti mana mana yang disebutkan oleh Pasir Gudang, namun pendapat dan nasihat oleh Jabatan Peguam Negara harus diambil kira dalam penggubalan mana-mana undang-undang yang akan dibentangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dr Zaliha
Dr Zaliha

Terdahulu, seramai 27 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dua hari itu dengan majoritinya mendesak supaya peruntukan berkaitan GEG yang digugurkan, dimasukkan semula ke dalam RUU berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Zaliha, pandangan dan nasihat Peguam Negara wajar diambil kira bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang sedia ada terutama Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas mengenai kritikan pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan untuk menggugurkan peruntukan berkaitan GEG itu, Zaliha menegaskan beliau terbuka menerima kritikan.

“Kita tengok suhu pun agak panas dalam perbahasan semalam (Rabu) sehingga ada juga mood provokasi dan mengherdik saya pun ada tapi saya ok Tan Sri Yang Dipertua.

“Saya jenis seorang yang boleh menerima pandangan. Setuju atau pun tidak setuju yang penting saya tidak makan dek herdik,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut membuat kesimpulan bahawa ramai yang prihatin dan sayang dengan generasi masa depan negara apabila hampir separuh daripada ahli Parlimen yang berbahas kecewa apabila GEG digugurkan daripada RUU tersebut.

“Tapi ahli Parlimen sekalian, perlulah juga ingat kita bukan sahaja mahu melahirkan generasi yang tidak merokok tapi sama pentingnya untuk melahirkan generasi bebas rasuah, generasi yang tidak sakau duit rakyat generasi pemfitnah dan kita juga tidak mahu lahirkan generasi yang membuta tuli walak kepada pemimpin,” katanya.

Zaliha turut menegaskan amat penting untuk kerajaan mewujudkan RUU yang khusus tersebut.