MVA gesa kerajaan kawal selia vape tanpa peruntukan GEG

Dasar GEG dilihat kabur dari sudut pelaksanaan dan gagal menangani kebimbangan daripada pelbagai aspek. - Gambar hiasan
Dasar GEG dilihat kabur dari sudut pelaksanaan dan gagal menangani kebimbangan daripada pelbagai aspek. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysian Vapers Alliance (MVA) menggesa agar kerajaan mengawal selia industri vape tanpa peruntukan dasar generasi penamat rokok (GEG) bagi memastikan kesejahteraan pengguna dapat dilindungi.

Presiden Malaysian Vapers Alliance (MVA), Khairil Azizi Khairuddin berkata, ia berikutan rangka kerja kawal selia yang komprehensif adalah kunci untuk bergerak ke hadapan dan pihaknya sedia menyokong sekiranya kerajaan terus maju dengan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 tanpa peruntukan GEG bagi melindungi kesihatan awam tanpa melanggar hak warganegara.

Khairil Aziz berkata, secara keseluruhannya, dasar GEG dilihat kabur dari sudut pelaksanaan dan gagal menangani kebimbangan daripada pelbagai aspek.

“Apa yang kita perlukan ialah peraturan yang akan memastikan produk vape di pasaran mematuhi garis panduan atau piawaian khusus untuk melindungi pengguna serta menghalang bawah umur daripada menggunakan produk tersebut.

“Peraturan juga mesti digabungkan dengan program pendidikan dan kesedaran, supaya orang dewasa masa depan memahami risiko yang berkaitan dengan menggunakan produk tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Khairil Azizi turut mempersoalkan penguatkuasaan dasar GEG yang tidak jelas dan diskriminasi terhadap mana-mana orang dewasa yang dilahirkan selepas tahun 2007.

Tambahnya, isu diskriminasi itu hanya sebahagian daripada permasalahan yang timbul akibat kewujudan dasar GEG berkenaan.

“Selanjutnya, ia adalah persoalan besar sama ada ia hanya terpakai kepada pengguna rakyat Malaysia yang lahir selepas 2007 atau juga berjuta-juta pelancong dan pekerja asing di Malaysia?

Artikel Berkaitan:

“Menteri Pelancongan mempunyai hak untuk menyuarakan kebimbangannya mengenai dasar itu kerana tidak jelas sama ada polisi itu terpakai kepada pelancong dan bagaimana polisi itu akan dikuatkuasakan ke atas berjuta-juta pelancong dewasa yang memasuki Malaysia pada masa hadapan

“Ia berisiko membuat kesalahan dan menjenayahkan ramai pengguna dewasa, sama ada warga Malaysia atau tidak, dengan polisi itu,” ujarnya.