Keputusan pinda terma GEG atas nasihat Peguam Negara

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) meminda terma Generasi Penamat (GEG) kepada Orang Belum Dewasa (OBD) dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 merupakan nasihat daripada Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Menteri berkenaan Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu dibuat selepas cadangan yang diutarakan oleh Peguam Negara mengenai peruntukan GEG tersebut boleh dicabar berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan iaitu berkenaan dengan hak kesamarataan.

"Bila pandangan (Peguam Negara) itu diberikan, maka kita memikirkan perkara yang paling penting sekarang ini iaitu untuk memastikan kawalan produk merokok didahulukan dan kita (KKM) tidak mahu banyak rentetan daripada perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 KKM bersama pengamal media di Bangunan Parlimen di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 adalah penting bagi kawalan secara menyeluruh semua produk merokok khususnya vape.

"Kita tidak mahu perkara ini berpanjangan...kita juga bimbang jika kita tidak dapat melepasi dan tangani isu kelompongan, jadi kita dahulukan dulu mana yang lagi penting iaitu kita membentangkan dahulu rang undang-undang yang mengetepikan dahulu GEG.

"Bukan kita lupakan GEG dalam pengawalan produk merokok ini, tetapi kita nak memastikan undang-undang yang lebih ketat dalam pengawalan produk merokok ini. Sekurang-kurangnya anak-anak di bawah 18 tahun ini kita boleh kawal," katanya.

Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentang semula bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, antara lain menggugurkan peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Dr Zaliha ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat esok (29 November).

Rang undang-undang yang ditarik balik itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 12 Jun lepas sebelum dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen.

Ditanya mengenai pengurangan jumlah kompaun maksimum RM1,000 kepada RM500 dalam rang undang-undang yang dibentangkan hari ini, Dr Zaliha berkata, pihaknya mengutamakan penguatkuasaan pendidikan dan ia merupakan satu usaha untuk mendidik kanak-kanak untuk tidak merokok.

"Unsur-unsur mendidik ini penting, untuk kita memastikan anak-anak ini mencapai kepada negara tanpa rokok dan dia tidak hanya dengan perundangan yang kita telah sediakan. Dari sudut yang lainnya adalah dari segi pendidikan supaya ia dekat di hati.

"Ia juga ada budi bicara kalau kanak-kanak itu didapati bersalah, budi bicara juga dilakukan oleh pegawai penguat kuasa...jika mereka tidak mampu bayar, baru kita pergi ke satu peringkat lain yang kita boleh menggunakan kuasa mahkamah untuk dakwa tetapi ia bukan kesalahan jenayah," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan libat urus dengan beberapa agensi termasuk Kementerian Pendidikan untuk merancang pelan pendidikan kepada kanak-kanak yang bersesuaian dengan rang undang-undang tersebut.

"Mereka telah bersedia untuk bekerjasama dengan kita untuk melakukan (langkah) advokasi dan kempen untuk mengawal produk merokok ini," katanya. - Bernama