Perak jamin pembalakan di Manong patuhi EIA

Saarani (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian Jelajah Halal Malaysia 2023 Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Saarani (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian Jelajah Halal Malaysia 2023 Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak memberi jaminan proses penebangan hutan yang akan dilaksanakan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Bubu seluas 400 hektar di Mukim Senggang, Manong, Kuala Kangsar mematuhi Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) yang diluluskan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kawasan tersebut dipersetujui untuk dinyahwarta sebagai HSK dan diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) bagi tujuan membangunkan ladang usahawan tani belia.

Menurutnya, projek pembangunan ladang tersebut tidak boleh sewenang-wenang kerana akan menjejaskan perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian.

"Walau bagaimanapun kita mengenal pasti dan beri jaminan kepada penduduk bahawa kita akan akur seperti kehendak EIA. Proses untuk penebangan tidak akan sekali gus, tetapi dilaksanakan secara berperingkat.

"Orang ramai tak perlu bimbang, kita tidak akan mendedahkan punca banjir yang akan menyusahkan kerana ia akan dibuat secara berperingkat dan kita belajar daripada pengalaman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Halal Malaysia 2023 Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Saarani berkata, pihaknya juga akan memastikan penebangan hutan tersebut tidak akan dilakukan ketika musim hujan dan perlu mengikut prosedur ditetapkan termasuklah melaksanakan pemuliharaan serta penanaman pokok baharu bagi mengelak berlaku hakisan.

Jelasnya, tanah tersebut perlu dibangunkan bagi menyediakan peluang kepada golongan belia di Perak menjadi usahawan tani yang merupakan sebahagian program keterjaminan makanan oleh SADC.

Pada Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan penduduk sebahagian kampung di Mukim Senggang, Manong, Kuala Kangsar merayu kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan semula keputusan nyahwarta kawasan seluas kira-kira 400 hektar Hutan Simpan Kekal Gunung Bubu kerana dibimbangi memberi kesan alam sekitar kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

Penebangan hutan yang akan dilakukan itu bakal memberi kesan kepada penduduk di sekurang-kurangnya empat kampung di dalam mukim berkenaan iaitu Lempor, Guar, Suak Petai dan Ulu Piol.

Dalam masa sama, Sahabat Alam Malaysia (SAM) turut menyuarakan bantahan berkenaan kerana dibimbangi akan memberi kesan kepada anak-anak sungai berhampiran yang merupakan sumber air untuk Sungai Perak.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman memaklumkan, berdasarkan semakan dibuat mendapati 266.7 hektar daripada 404.6 hektar yang diluluskan untuk dinyahwarta dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan negeri bagi mengeluarkan hasil secara tebang habis.