Pasfa bangunkan ladang durian seluas 199 hektar

Zamri (tengah) melihat durian D24 dan IOI yang gugur di Ladang Kampung Mahkota selepas program Moh Kendurian Pasfa di Ladang Kampung Mahkota, di sini pada Selasa.
Zamri (tengah) melihat durian D24 dan IOI yang gugur di Ladang Kampung Mahkota selepas program Moh Kendurian Pasfa di Ladang Kampung Mahkota, di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) akan membangunkan projek penanaman durian varieti terkini di atas tanah seluas 199 hektar di Kampung Chegar Perah, Kuala Lipis awal tahun hadapan.

Pengerusi Jemaah Pengarah Pasfa, Datuk Zamri Yaakob berkata, ia melibatkan penanaman durian seperti damak king, musang king dan duri hitam serta beberapa varieti terbaru.

Menurutnya, tanah seluas 40.47 hektar akan digunakan bagi penanaman durian damak king.

"Kita sasar untuk eksport durian ke negara luar khususnya negara China menerusi penanaman durian berskala besar ini, selain pasaran tempatan.

"Dalam tempoh lima hingga enam tahun lagi, kita akan dapat menuai hasil daripada 16,450 batang pokok. Saya dimaklumkan bagi sebatang pokok matang (durian) dapat menghasilkan kira-kira 100 biji durian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Moh Kendurian Pasfa di Ladang Kampung Mahkota, di sini pada Selasa.

Zamri memberitahu, penanaman berskala besar itu diusahakan bertujuan untuk pasaran luar negara sekali gus menyahut seruan kerajaan mempelbagaikan sumber pendapatan.

Tambahnya, produk hiliran berasaskan durian juga akan diperkenalkan, selain menjual raja buah itu secara borong kepada pembekal.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan mencari rakan kongsi bagi menghasilkan produk hiliran ini termasuk dalam pembuatan aiskrim dan makanan yang berkaitan dengan durian," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah melaksanakan projek pertanian bercampur di Ladang Kampung Mahkota bagi meningkatkan hasil pertanian selaras dengan kehendak kerajaan yang mahu sektor pertanian menjadi sumber kekayaan baharu kepada rakyat.

Ujarnya, Pasfa telah menanam lebih 600 pokok durian di ladang tersebut seperti D24, Musang King, IOI, Musang King dan Duri Hitam.

"Pada musim ini, Pasfa menjangkakan penghasilan durian lebih 11 tan dengan anggaran pendapatan RM150,000," katanya.