Ikat 30 sangkar ikan pada pokok elak dihanyut arus deras

Sangkar ikan yang dinaikkan sebahagian secara berperingkat bergantung kepada arus sungai.
Sangkar ikan yang dinaikkan sebahagian secara berperingkat bergantung kepada arus sungai.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang penternak ikan mengambil langkah mengikat 30 sangkar ternakannya pada dua batang pokok bagi mengelak dihanyutkan arus deras di Sungai Kelantan di Kampung Batu Lada, Mengkebang di sini pada musim tengkujuh.

Penternak itu, Rohaimi Yusoff, 51, berkata, sangkar-sangkar mengandungi 35,000 ikan jenis keli, tilapia, baung dan patin itu diikat ke pokok durian serta nangka yang terletak di tebing sungai berkenaan.

Menurutnya, lebih RM3,000 dibelanjakan bagi membeli tali sepanjang 100 meter dan lebar serta berkualiti bagi memastikan ikatan itu kukuh.

Rohaimi menaikkan ikan-ikan untuk dijual.
Rohaimi menaikkan ikan-ikan untuk dijual.

Menurut Rohaimi, dia turut meninggikan separuh kedudukan sangkar dari dalam air supaya ikan tidak terlepas atau mati sekiranya paras sungai meningkat secara mendadak.

“Ikan keli terutamanya boleh mati sekiranya air sungai terlalu keruh atau membawa banyak sisa kimia akibat aktiviti perlombongan.

“Ketika arus deras juga ikan menyebabkan akan mati akibat terhimpit di dalam sangkar atau hanyut bersama-sama sangkar jika tidak diikat semasa musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Rohaimi (kiri) dibantu pekerjanya untuk membawa ikan-ikan dari sangkar untuk naik ke darat.
Rohaimi (kiri) dibantu pekerjanya untuk membawa ikan-ikan dari sangkar untuk naik ke darat.

Ujar Rohaimi, keadaan sungai ketika ini masih berada pada paras normal walaupun daerah itu dilanda hujan sejak Ahad malam.

Tambah Rohaimi, dia akan melihat tangga yang terdapat di tebing sungai untuk memastikan keadaan air sungai meningkat.

“Kalau tangga tebing sungai ini ditenggelami air, bermaksud paras sungai naik dan paling tinggi pernah mencecah sehingga 10 meter daripada paras normal pada tahun lalu.

“Saya akan menaikkan lagi kedudukan sangkar jika perlu bergantung kepada keadaan paras sungai ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rohaimi berharap sejarah terpaksa menanggung kerugian lebih RM100,000 ketika banjir pada dua tahun lalu tidak akan berulang.

"Ketika itu, separuh daripada 200,000 ikan peliharaannya mati terhimpit kerana kelajuan arus sungai.

“Kerugian teruk berlaku pada tahun pertama saya menternak ikan dan kali ini, saya ikatkan juga buluh di sekeliling sangkar sebagai penghadang bagi mengurangkan impak kayu hanyut merempuh bahagian tepi sangkar.

Sangkar ikan milik Rohaimi yang diusahakan di tebing Sungai Kelantan di Mengkebang, Kuala Krai.
Sangkar ikan milik Rohaimi yang diusahakan di tebing Sungai Kelantan di Mengkebang, Kuala Krai.

“Bagi menyelamatkan ikan-ikan ini juga, sembilan kolah dibina di bahagian atas di tebing sungai untuk menempatkan 100,000 benih ikan keli dan akan dibina lebih banyak lagi untuk tujuan sama,” katanya yang mempunyai seorang pekerja bermalam di atas rumah rakit di sangkar itu.

Menurut Rohaimi, setiap sekilogram ikan baung dijual dengan harga RM20, patin dan tilapia (RM15) manakala ikan keli (RM10) yang dihantar ke Pasar Kuala Krai lebih 40 kilogram sehari.