Semua agensi dikerah gerak aset ke kawasan terjejas banjir

Anggota penyelamat berusaha memindahkan mangsa banjir di Kampung Gong Pak Maseh di Kuala Terengganu. - Foto APM
Anggota penyelamat berusaha memindahkan mangsa banjir di Kampung Gong Pak Maseh di Kuala Terengganu. - Foto APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Semua agensi dikerahkan untuk menggerakkan aset ke kawasan terjejas bagi melancarkan usaha menyelamat mangsa banjir.

Timbalan Pengerusi Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas dapat segera dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat.

"Saya telah mengarahkan agensi berkaitan untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi, susulan banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

" Ia termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi sokongan lain untuk memindahkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di PPS," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Isnin.

Hanafiah yang juga Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar berkata, taburan hujan yang sangat tinggi direkodkan melebihi 200 milimeter (mm) di sekitar daerah Kuala Terengganu manakala 100mm di sekitar daerah Kuala Nerus, Besut, Setiu dan Marang.

Katanya, beberapa kawasan telah dinaiki air antaranya Kampung Tok Adis, Jalan kamaruddin, Jalan Pusara, Rhu Rendang, Pasar Payang, Kampung Che Kundur, Gong Badak, Merchang, Jalan Kampung Paloh, Jalan Sultan Omar, Tok Jembal.

"Sehingga jam 10 pagi, tiga PPS telah dibuka iaitu di Dewan Serbaguna Tok Jembal (155 keluarga), Dewan Flat Batin Perdana dan Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering (empat keluarga 11 mangsa).

"Selain itu, dua buah sekolah iaitu SK Losong dan SK Seri Budiman terpaksa ditutup kerana dinaiki air setinggi 0.3 meter dan semua guru dan pelajar melalui proses PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hanafiah menyarankan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan segera berpindah sekiranya kawasan rumah berisiko dinaiki air..

"Mereka berada di kawasan-kawasan terdedah kepada banjir, saya harap jangan berlengah untuk pindah kerana perlu ambil langkah berhati-hati dan sentiasa patuh arahan pihak berkuasa.

"Saya minta mereka yang berada di kawasan yang terjejas banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa dan dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga," ujarnya.