Terengganu dilanda banjir

Keadaan laluan di Jalan Kamaruddin di Kuala Terengganu yang dinaiki air. - Foto Media sosial
Keadaan laluan di Jalan Kamaruddin di Kuala Terengganu yang dinaiki air. - Foto Media sosial
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hujan lebat yang berterusan sejak Ahad menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mula dinaiki air.

Difahamkan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serba guna Tok Jembal di daerah Kuala Nerus dibuka jam 7 pagi Isnin bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat, kerja-kerja pemindahan penduduk yang terjejas sedang dilakukan dan jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas masih belum dapat dipastikan.

"Keadaan hujan lebat masih berlaku di beberapa kawasan yang berisiko menyebabkan banyak tempat dilanda banjir hari ini.

"Saya harap mangsa di kawasan banjir akan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS yang disediakan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, pada Isnin.

Hujan lebat yang berterusan juga menyebabkan beberapa kawasan perumahan di dua daerah itu dilanda banjir kilat awal pagi ini.

Sebatang pokok tumbang di tepi Jalan Sultan Omar Di Kuala Terengganu awal pagi Isnin. - Foto media sosial.
Sebatang pokok tumbang di tepi Jalan Sultan Omar Di Kuala Terengganu awal pagi Isnin. - Foto media sosial.

Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Kamaruddin, Jalan Pusara, Batu Buruk, Taman Dahlia, Taman Alamanda 1, 2 dan 3, Kuala Ibai dan Losong di Kuala Terengganu serta beberapa lokasi berada di kawasan rendah sekitar Gong Badak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penduduk Taman Alamanda 3 yang ingin dikenali sebagai Hidayah, 39, berkata, banjir kilat sering berlaku di rumahnya sejak tahun 2016.

"Tahun lepas, rumah saya dilanda banjir kilat sebanyak tiga kali menyebabkan kami sekeluarga terpaksa mengemas keseluruhan rumah selepas banjir surut.

"Paling sekejap air naik dalam tujuh jam dan berlarutan hingga 10 jam setiap kali ia berlaku. Walaupun hanya dalam tempoh singkat, kesan lumpur yang dibawa sangat susah dihilangkan," katanya yang membeli rumah itu pada tahun 2010.

Sementara itu, menurut penduduk Taman Seri Intan, Nor Halina Mohamad, 35, masalah banjir mungkin berpunca dari parit dan longkang yang tidak diselenggara dengan sempurna sejak dahulu.

Bagaimanapun, beberapa langkah proaktif telah diambil untuk membersihkan dan mengorek longkang yang tersumbat sebagai langkah awal mencegah banjir agar tidak lebih buruk pada musim tengkujuh akan datang sejak awal tahun ini.

"Walaupun begitu, masalah banjir kilat tetap berlaku dan kami harap sangat ia dapat diselesaikan dan jangka masa panjang kerana tidak sanggup lagi berdepan masalah sama setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Isnin berkata, setakat ini lebih 30 buah keluarga telah dipindahkan ke PPS di daerah Kuala Nerus.