Banjir: Peniaga sedekah nasi lemak di PPS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
KUALA NERUS - Seorang peniaga, Zarina Zainuddin berkongsi rezeki dengan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Tok Jembal di sini, apabila nasi lemaknya tidak dapat dijual berikutan paras air yang naik mendadak akibat bencana itu.

Zarina, 44, yang turut berpindah ke PPS itu selepas rumahnya di Taman Uda, Tok Jembal dinaiki air berkata,dia mengagihkan 200 bungkus nasi lemak yang sempat disiapkannya untuk menjamu mangsa banjir di situ pada jam 7 pagi tadi.

"Di sebalik musibah banjir, saya berpeluang membuat amal kebajikan melalui sedekah. Saya tidak terkilan atau berasa rugi walaupun nasi lemak tidak dapat dihantar ke warung dan kedai makanan berhampiran untuk dijual," katanya ketika ditemui di PPS itu pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zarina berkata, dia mula memasak nasi lemak pada jam 3 pagi walaupun hujan lebat tidak henti-henti sejak malam tadi dan pada masa itu, keadaan masih terkawal dan air belum memasuki bahagian rumahnya.

"Bagaimanapun, kira-kira jam 4.30 pagi air sudah naik ke paras lutut, tetapi saya teruskan juga membungkus dan hanya sempat siapkan separuh kerana paras air semakin tinggi ... kawasan perumahan ini memang biasa banjir, boleh dikatakan setiap tahun, tetapi kali ini air naik sangat cepat, sekelip mata sahaja," katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam pada itu, setakat jam 12 tengah hari Isnin, sebanyak 184 mangsa banjir daripada 67 keluarga telah dipindahkan ke tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, Kuala Terengganu serta Dewan Serbaguna Tok Jembal dan Dewan Flat Batin Perdana di Kuala Nerus. - Bernama