Dua dron pantau 42 hot spot, 67 black spot Op Selamat 25 - Polis Kelantan

TUMPAT – Cuti 30 pegawai dan 200 anggota trafik dibekukan bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta menurunkan kadar kemalangan sempena Op Selamat 25 yang bermula 15 hingga 20 Februari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pada masa yang sama pihaknya juga akan menggunakan dua unit dron bagi memantau keadaan trafik.
"Kempen keselamatan jalan raya itu memberi fokus utama kepada usaha meminimumkan kemalangan maut selain memastikan pergerakan trafik lancar, selesa dan terkawal sepanjang musim perayaan.
"Penguatkuasaan akan ditumpukan di kawasan berisiko tinggi seperti di Kuala Krai, Machang dan Gua Musang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina di Pasir Pekan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, sebanyak 42 lokasi 'hot spot' (kawasan kerap sesak) dan 67 'black spot' (kawasan kerap berlaku kemalangan) dikenal pasti di seluruh Kelantan.
Ujarnya, tumpuan khusus diberikan kepada laluan utama dari Gua Musang ke Kota Bharu yang dijangka mengalami kesesakan luar biasa.
Mohd Yusoff memberitahu, bagi Op Selamat 2024, sebanyak 252 kes kemalangan direkodkan dengan lapan kematian.
"Bagi tahun 2025, sebanyak 228 kes kemalangan dan tiga kematian dicatatkan.
"Tahun ini kita tingkatkan lagi pendekatan pencegahan supaya statistik ini terus menurun," katanya.
Ujar beliau, operasi itu turut melibatkan kerjasama strategik bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi lain bagi memastikan aspek keselamatan, kecemasan dan pengurusan trafik berjalan lancar.
“Matlamat utama kami ialah memastikan pengguna jalan raya dapat bergerak dengan selamat, mengurangkan kemalangan dan mengelakkan kesesakan serius sepanjang tempoh perayaan,” katanya.
Ringkasan AI
- Cuti 30 pegawai dan 200 anggota trafik dibekukan untuk Op Selamat 25 dari 15 hingga 20 Februari
- Polis Kelantan menggunakan dua unit dron memantau keadaan trafik
- Fokus utama meminimumkan kemalangan maut dan memastikan trafik lancar sempena musim perayaan
- Sebanyak 42 lokasi hot spot dan 67 black spot dikenal pasti di Kelantan
- Operasi melibatkan kerjasama Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

