Alumni TUBE Sabah catat RM20.65 juta nilai jualan

A
A
A

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia bersama penerima replika cek geran perniagaan di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di Sesi Meet & Greet Alumni TUBE Negeri Sabah
YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia bersama penerima replika cek geran perniagaan di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di Sesi Meet & Greet Alumni TUBE Negeri Sabah



SHAH ALAM - Sebanyak RM20.65 juta nilai jualan telah berjaya direkodkan Alumni Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Negeri Sabah.

Program TUBE yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp. Malaysia, bermatlamat menggalakkan Belia Bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun menceburi bidang perniagaan.

Secara keseluruhan nilai jualan terkumpul yang dicatatkan oleh peserta TUBE dari seluruh negara adalah sebanyak RM154.38 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata, pihak kementerian terus komited dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan negara sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) bagi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul.”

“Tumpuan khusus diberikan kepada golongan belia yang merupakan penyambung warisan dan harapan bangsa untuk terlibat secara serius dalam bidang keusahawanan.

“Bagi pembangunan keusahawanan belia di bawah KUSKOP, pengumuman Belanjawan MADANI 2024 yang lalu, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan untuk meneruskan Program TUBE manakala RM10 juta untuk membiayai Skim TEKUN Belia Mobilepreneur sebagai modal anak muda yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal dan platform digital,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Sesi Temu Mesra (Meet & Greet) bersama Alumni TUBE 2023 Sabah bertempat di Hotel Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, hari ini.

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia semasa sesi interaksi bersama peserta program Meet & Greet Alumni TUBE Negeri Sabah
YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia semasa sesi interaksi bersama peserta program Meet & Greet Alumni TUBE Negeri Sabah

Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia,Rizal Nainy, berkata, sejak 2014 hingga kini, sebanyak 7,738 usahawan belia telah berjaya dilatih di bawah program TUBE dengan geran perniagaan berjumlah RM103.88 juta.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,444 peserta dari negeri Sabah, melibatkan penyaluran geran permulaan perniagaan sebanyak RM15.42 juta dari jumlah keseluruhan penyaluran geran permulaan perniagaan. Berbanding negeri lain, Sabah mempunyai bilangan peserta yang tertinggi.

“Sehingga kini, seramai 7,040 peserta TUBE telah mendaftarkan perniagaan masing-masing dan berjaya mewujudkan sebanyak 13,866 peluang pekerjaan baharu,”katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan replika cek kepada 10 peserta TUBE 9.0 serta melancarkan Program Bumiputera MSMEs Financing Initiative (BMFI).

Program BMFI yang dilaksanakan dengan kerjasama Funding Societies merupakan program pembiayaan khas kepada Alumni TUBE yang ingin mengembangkan perniagaan dengan pembiayaan maksimum sehingga RM100,000.00.

Sesi anjuran SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Persatuan Tunas Usahawan Sabah (PANTAS) yang dihadiri seramai 120 peserta itu bertujuan menyediakan latihan lanjutan serta mendapatkan maklumbalas dan status terkini perniagaan Alumni TUBE.

Para peserta yang hadir juga diberikan taklimat mengenai kemudahan pembiayaan lain yang ditawarkan bagi tujuan pengembangan perniagaan, perkongsian kisah kejayaan perniagaan oleh Alumni TUBE Sabah di samping peluang pasaran menerusi jaringan perniagaan dalam kalangan peserta.