Sabah catat kadar pengangguran tertinggi - Sivakumar

Sivakumar (dua dari kanan)) bersama timbalannya, Mustapha Sakmud (kiri) pada majlis Hari Bertemu Pelanggan anjuran Kementerian Sumber Manusia Peringkat Negeri Sabah di SICC pada Isnin. - Foto: Bernama
Sivakumar (dua dari kanan)) bersama timbalannya, Mustapha Sakmud (kiri) pada majlis Hari Bertemu Pelanggan anjuran Kementerian Sumber Manusia Peringkat Negeri Sabah di SICC pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu seramai 169,800 orang atau meliputi 29 peratus daripada 588,700 jumlah penganggur di seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kadar pengangguran di Sabah mencecah 7.7 peratus dalam suku pertama tahun ini dan kadar itu juga lebih dua kali ganda berbanding 3.5 peratus pada peringkat nasional.

"Namun kadar peratusan pengganguran di Sabah itu menunjukkan penurunan berbanding 9.1 peratus pada suku pertama tahun lepas berikutan pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri Sabah sempena program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu pada Isnin.

Sivakumar berkata, isu buruh di Sabah berbeza berbanding negeri lain kerana golongan pekerja yang bukan di bawah Ordinan Buruh dianggarkan melebihi 800,000 orang, seperti pemegang Kad IMM13, Sijil Banci, Kad Burung-Burung, Bajau Laut (Pala’u) dan Pendatang Asing Tanpa Izin.

"... manakala lebih 90 peratus majikan berstatus pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) telah memberi impak kepada pematuhan dasar dan perundangan berkaitan perburuhan," katanya.

Justeru, beliau berkata, pada 14 Jun lepas, Jemaah Menteri Negeri Sabah telah meluluskan tanpa bahas penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah (MPBS) bagi membincangkan isu berkaitan perburuhan di negeri ini.

Sivakumar berkata, menerusi MPBS, sebarang isu berbangkit harus dilihat dengan teliti dan semua pihak dalam majlis itu perlu bekerjasama memberikan idea secara kolektif, demi memastikan Sabah menjadi antara negeri yang boleh memberikan upah tinggi. - Bernama

Artikel Berkaitan: