Program Jualan Rahmah catat lebih RM5.7 juta hasil jualan di Pahang - Fuziah

Program Jualan Rahmah merupakan inisiatif kerajaan yang dilihat dapat memberi kesan positif terhadap rakyat dalam meringankan kos sara hidup. (Gambar hiasan)
Program Jualan Rahmah merupakan inisiatif kerajaan yang dilihat dapat memberi kesan positif terhadap rakyat dalam meringankan kos sara hidup. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUANTAN - Program Jualan Rahmah merekodkan lebih RM5.7 juta hasil jualan dengan bilangan pengunjung sekitar 200,000 orang sehingga semalam di Pahang, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh.

Beliau berkata, rekod jualan itu diperoleh selepas program itu dilaksanakan di 136 lokasi melibatkan 42 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, program seumpama itu merupakan inisiatif kerajaan yang dilihat dapat memberi kesan positif terhadap rakyat dalam meringankan kos sara hidup.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan memastikan Jualan Rahmah dapat dianjurkan di setiap kawasan DUN di seluruh negara termasuk di pedalaman.

"Kita juga meletakkan sasaran supaya Jualan Rahmah dua kali sebulan di setiap DUN dapat dicapai menjelang penghujung tahun ini.

"Kalau ada sesiapa mahu (program) "Kedai Cari Rakyat” pergi ke kawasan mereka bagi tahu kementerian, nanti KPDN akan kumpul maklumat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Jualan Rahmah dan pelancaran Jualan Rahmah Bergerak #KedaiCariRakyat peringkat negeri Pahang di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini, hari ini.

Setakat ini, Program Jualan Rahmah merekodkan lebih RM70 juta jualan dengan kehadiran sebanyak 2.8 juta pengunjung di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, inisiatif itu merupakan satu daripada usaha KPDN untuk membantu menurunkan kadar inflasi negara yang telah mencapai 2.0 peratus berbanding 4.0 peratus pada November tahun lepas. - Bernama