Dutch Lady Milk Industries Berhad catat pendapatan RM351 juta

DLMI akan terus memastikan rangkaian luas produk mampu milik melalui penetapan harga strategik.
DLMI akan terus memastikan rangkaian luas produk mampu milik melalui penetapan harga strategik.
A
A
A

PENGELUAR tenusu terkemuka, Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) mencatatkan peningkatan 12.6 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM24.3 juta dan kenaikan 3.3 peratus dalam pendapatan kepada RM351 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun berbanding tempoh yang sama pada 2022.

DLMI dalam satu kenyataan berkata, keuntungan operasi tidak termasuk susut nilai yang dipercepatkan dan sekali sahaja berjumlah RM37.7 juta berbanding RM32.9 juta dari setahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 17.1 peratus.

“Peningkatan ini disebabkan oleh inisiatif pengoptimuman kos syarikat dan langkah pengurusan pertumbuhan pendapatan untuk membendung tekanan inflasi dan penimbalan terhadap kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat.

“Susut nilai aset sedia ada yang dipercepatkan di kilang Petaling Jaya, Selangor juga konsisten dengan pengumuman awal berkaitan pelaburan dalam kilang pembuatan baharu di Bandar Enstek,” jelas kenyataan itu.

Ramjeet Kaur Virik
Ramjeet Kaur Virik

Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, syarikat itu akan terus memastikan rangkaian luas produk mampu milik melalui penetapan harga strategik.

“DLMI akan kekal teguh dalam tujuannya untuk Mengkhasiati Rakyat Malaysia dan terus memacu kedudukannya sebagai peneraju pasaran dengan terus beroperasi dalam pasaran yang tidak menentu berikutan ketidaktentuan dan cabaran global serta potensi perubahan kawal selia,” katanya.

Ramjeet berkata, syarikat akan terus menguruskan aliran tunainya dengan teliti untuk mengemudi DLMI dalam pasaran yang sukar dan menguruskan pembiayaan dalaman untuk pembinaan kemudahan baharu di Bandar Enstek.

Artikel Berkaitan:

“DLMI, peneraju pasaran terkemuka sejak 1963, telah menunjukkan komitmen mendalam kepada negara dengan melabur RM540 juta dalam kilang pembuatan bertaraf dunia baharu yang sedang dalam pembinaan di Bandar Enstek.

"Kilang pembuatan sedia masa hadapan akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2024.

“Kami akan kekal fokus pada misi kami dan pada masa yang sama, mengekalkan margin kasar yang sihat untuk membolehkan DLMI terus melabur dalam aset, jenama dan sumber manusia kami,” kata Ramjeet.

Beliau berkata, ia akan memacu penglibatan jangka panjang untuk menjadikan syarikat sebagai majikan pilihan serta meningkatkan jangkauan pasaran untuk produk tenusu.

Produk rangkaian DLMI
Produk rangkaian DLMI

“DLMI kekal optimis dengan berhati-hati untuk jangka panjang berikutan kekuatan jenama yang teguh dan kesedaran umum yang semakin meningkat mengenai keperluan kritikal terhadap nutrisi tenusu di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya kanak-kanak.

“DLMI dalam tahun mendatang akan terus menyokong dan bekerjasama dalam agenda kesihatan kerajaan dalam memerangi penyakit tidak berjangkit seperti tumbesaran terbantut dan obesiti di kalangan kanak-kanak,” katanya.

Ramjeet berkata, DLMI juga terus komited dalam menyokong kerajaan untuk mencapai tahap kecukupan kendiri pada 100 peratus dalam pengeluaran susu segar tempatan dengan meningkatkan kemahiran penternak tenusu tempatan untuk meningkatkan kualiti dan jumlah pengeluaran susu.

“Ini merupakan sebahagian daripada pendekatan Perkongsian Swasta-Awam DLMI untuk terus mempertingkat agenda keselamatan makanan negara,” katanya.