Sedih terima diploma bersendirian, keluarga terlibat kemalangan

Muhammad Zulfahmi menerima skrol diploma secara bersendirian tanpa ditemani keluarga pada pada majlis konvokesyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (U
Muhammad Zulfahmi menerima skrol diploma secara bersendirian tanpa ditemani keluarga pada pada majlis konvokesyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (U
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang graduan, Muhammad Zulfahmi Sulkifli, 20, terpaksa menahan kesedihan kerana hadir tanpa ditemani ahli keluarga pada majlis konvokesyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Rabu.

Ini kerana ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan di Muadzam Shah, Pahang dalam kejadian petang semalam.

Anak jati dari Seremban, Negeri Sembilan memberitahu, dia terpaksa kuatkan semangat naik ke pentas untuk menerima skrol Diploma Reka Bentuk Perindustrian (FRIT) pada majlis konvokesyen berkenaan.

"Seramai 11 ahli keluarga termasuk pekerja ayah saya menaiki sebuah van dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Terengganu. Namun van dinaiki mereka terlibat kemalangan sebaik tiba di Muadzam Shah, kira-kira jam 2 petang semalam.

Van dinaiki ahli keluarga Muhammad Zulfahmi terlibat kemalangan petang semalam.
Van dinaiki ahli keluarga Muhammad Zulfahmi terlibat kemalangan petang semalam.

"Kesemua cedera dan menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah. Malam tadi mereka telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk terima rawatan susulan dan ada antara mereka sudah keluar dari hospital sejak tengah hari tadi.

"Saya sangat sedih kerana memikirkan situasi ahli keluarga cedera akibat kemalangan tersebut, lebih-lebih lagi nenek kerana tulang rusuk dan bahunya patah," katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhammad Zulfahmi berkata, perasaannya kini bercampur baur kerana memikirkan soal kesihatan ahli keluarga yang kini menerima rawatan di hospital akibat kemalangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Memang sangat sedih bila tengok rakan lain datang bersama dengan keluarga masing-masing. Ibu dan ayah saya tidak sempat hadir nak lihat saya naik ke pentas terima skrol diploma.

"Walaupun tersenyum namun ia hanya untuk menutup kesedihan kerana terlalu fikirkan soal keselamatan keluarga, namun saya kekal tabah dan kuatkan diri hadapi dugaan ini.

"Saya anggap perkara ini sebagai ujian dan reda dengan ketetapan tuhan. Alhamdulillah.... saya bersyukur kerana mereka semua selamat walaupun perlu menerima rawatan di hospital," ujarnya.

Dia tetap kekal optimis selain menganggap penganugerahan diploma itu merupakan hadiah terindah untuk ibu bapa dan keluarga meskipun mereka tidak dapat hadir pada detik bersejarah dalam hidupnya.