ADUN Belia Terengganu diingatkan jangan salah guna gelaran

Hishamuddin (barisan depan, lapan dari kanan) bersama wakil kerajaan negeri dan ADUN Belia yang dilantik. - Foto: UPDI
Hishamuddin (barisan depan, lapan dari kanan) bersama wakil kerajaan negeri dan ADUN Belia yang dilantik. - Foto: UPDI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu yang dilantik diingatkan agar tidak sesekali menyalahgunakan gelaran yang diberi untuk kepentingan peribadi.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, gelaran yang diterima itu juga bukan bermaksud mereka menjadi orang nombor dua kepada wakil rakyat dan tidak dibenarkan untuk membuat sebarang kenyataan di luar.

Menurutnya, pelantikan sebagai ADUN Belia adalah sebagai latihan untuk mereka, selain menarik golongan muda untuk bersama-sama mengetengahkan dan menyalurkan apa jua isu kepada kerajaan, bagi membolehkan langkah selanjutnya diambil.

“Jika ada antara ADUN Belia ini yang didapati menyalahgunakan status mereka untuk kepentingan peribadi atau menyuarakan isu pada saluran yang tidak sepatutnya, mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya selepas mempengerusikan sidang DUN Belia Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Persidangan itu berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lalu dan menyaksikan seramai 37 ADUN Belia iaitu 26 lelaki dan 11 wanita yang mewakili DUN masing-masing pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama 2019.

Ia merupakan persidangan pertama seumpamanya diadakan, membabitkan 32 ADUN Belia yang dilantik selepas menjalani sesi temuduga selain lima wakil bagi Belia Parlimen.

Antara ADUN Belia yang terlibat dalam sidang DUN Belia Terengganu. - Foto: UPDI
Antara ADUN Belia yang terlibat dalam sidang DUN Belia Terengganu. - Foto: UPDI

Hishamuddin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, antara objektif mewujudkan ADUN Belia adalah untuk melahirkan generasi pelapis dan melahirkan bakal pemimpin yang mahir dalam berhujah dan mengutarakan pandangan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun baharu pertama kali dilaksanakan, ia berjalan lancar dan semua ADUN Belia mampu berbahas dengan yakin, cuma ada yang kelihatan gugup tetapi ia satu proses pembelajaran.

“Laporan yang diperoleh daripada persidangan ini akan kita angkat kepada kerajaan dan dinilai. Ada perkara yang dibangkitkan mereka tadi yang saya sendiri rasa cukup baik utk diketengahkan kepada kerajaan dan memang mereka menyentuh suara hati belia.

“Antaranya ialah usul ekonomi, soal kerjaya dan peluang pekerjaan untuk belia dan peluang untuk menceburi perniagaan termasuk dalam industri pertanian. Golongan belia ini sebenarnya ada keupayaan untuk menceburi bidang pertanian, malah boleh merancakkan lagi industri pertanian di Terengganu,” katanya.

Jelasnya, ADUN Belia ini juga diberikan elaun secara 'one-off' kira-kira RM1,000.