500 meter kawasan Pantai Bukit Keluang terjejas akibat hakisan

BESUT – Ancaman hakisan pantai yang semakin meruncing sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) menyebabkan kira-kira 500 meter kawasan sekitar pesisir Pantai Bukit Keluang di sini terjejas, sekali gus mencemarkan imej kawasan itu sebagai antara lokasi pelancongan popular di Terengganu.
Keadaan itu berlarutan sejak dua tahun lalu sebelum menjadi semakin ketara bermula hujung tahun lalu apabila ombak besar dan fenomena air pasang mempercepatkan proses hakisan yang berlaku sepanjang pantai berkenaan.
Pengawal penyelamat pantai, Lans Koperal Noorul Azlan Mahusin, 41, berkata kesan hakisan bukan sahaja melibatkan perubahan fizikal pantai, malah turut merosakkan beberapa struktur yang terdapat di kawasan tersebut.
Menurutnya, pagar menara kawalan yang dibina lebih sedekad lalu mula runtuh pada Disember tahun lalu akibat hakisan, sebelum keadaan menjadi lebih buruk apabila arus deras dan air pasang besar melanda kawasan itu pada minggu lalu.
"Struktur tanah di bahagian bawah bangunan ini semakin terhakis hingga wujud ruang kosong apabila pasir ditarik ombak dan sebahagian strukturnya telah runtuh.
"Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mereka yang berada di sini kerana bangunan ini berisiko ditelan laut sekiranya hakisan terus berlaku," katanya ketika ditemui di Pantai Bukit Keluang, di sini.
Tambah Noorul Azlan, situasi itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengunjung memandangkan kawasan pantai tersebut sebelum ini menjadi lokasi tumpuan untuk aktiviti mandi-manda dan riadah keluarga.
"Kawasan ini menerima ramai pelancong terutama pada musim cuti sekolah, namun apabila keadaan pantai seperti ini, kemungkinan pelancong tidak lagi akan berkunjung ke sini untuk menikmati keindahan pantai," ujarnya.
Sementara itu, seorang peniaga, Norhayati Abd Rahman, 42, berkata hakisan yang berlaku turut memberi impak kepada peniaga kecil apabila jumlah pengunjung semakin berkurangan.
Norhayati berkata, kemudahan awam seperti kerusi dan meja batu yang disediakan di tepi pantai sebelum ini juga telah rosak dan dihanyutkan arus akibat ombak kuat.
"Dahulu kawasan ini sentiasa dipenuhi pengunjung yang datang berkelah dan berehat bersama keluarga, tetapi sekarang keadaannya jauh berbeza selepas pantai semakin terhakis.
"Hakisan yang berlaku tidak tertumpu pada satu lokasi sahaja kerana banyak kawasan terjejas dan anggaran keseluruhan jarak kawasan terjejas adalah sekitar 500 meter," katanya.
Menurutnya, keadaan itu turut diburukkan apabila pokok-pokok rhu yang berfungsi sebagai penahan semula jadi ombak turut tumbang akibat hakisan berterusan.
"Sebagai peniaga di sini, kami berharap langkah segera dan menyeluruh dapat diambil oleh pihak berkaitan bagi mengatasi masalah hakisan pantai di kawasan ini bagi mengelakkan kerosakan yang lebih teruk berlaku pada masa akan datang," ujarnya.
Ringkasan AI
- Hakisan pantai di Pantai Bukit Keluang, Terengganu, merosakkan imej pelancongan
- Ombak besar dan fenomena air pasang mempercepatkan hakisan sejak hujung tahun lalu
- Struktur seperti pagar menara kawalan runtuh, membahayakan bangunan berdekatan
- Hakisan menjejaskan aktiviti mandi-manda dan riadah, mengurangkan minat pelancong
- Pengurangan jumlah pengunjung memberi impak kepada pendapatan peniaga kecil di kawasan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
