Haji: Jangan salah guna visa pelancong, umrah - MOTAC

Siaran media MOTAC
Siaran media MOTAC
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menasihatkan umat Islam terutama bakal jemaah umrah di negara ini supaya tidak menyalahgunakan kemudahan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

MOTAC dalam kenyataan pada Sabtu berkata, pihaknya turut mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji yang dijangka akan bermula minggu ketiga bulan Jun 2023.

Katanya, pihak terbabit juga perlu akur dengan peraturan semasa ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

"Peringatan ini diuar-uarkan bagi memastikan tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa (overstay) sehingga masuk ke musim haji.

"Perkara ini merupakan satu kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit yang sah.

"Kerajaan Arab Saudi hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH)," katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, MOTAC memandang serius berhubung perkara berkenaan kerana ia melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah umrahserta berusaha menghalang berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

Katanya, selain ia juga bagi menjaga hubungan baik yang telah terjalin antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Justeru, MOTAC berkata, tindakan sewajarnya akan diambil jika terbukti ia melibatkan syarikat pengendali umrah yang dilesenkan oleh Kementerian.

"MOTAC menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang melancong dan mengerjakan umrah agar sentiasa menjaga nama baik negara semasa berada di luar negara," jelasnya.