Arang batu cemari Pantai Teluk Kalong

Pantai Teluk Kalong dekat sini dicemari bahan pepejal berwarna hitam, dipercayai arang batu yang terdampar di sepanjang pesisir sejak dua hari lalu. - Foto: Bernama
Pantai Teluk Kalong dekat sini dicemari bahan pepejal berwarna hitam, dipercayai arang batu yang terdampar di sepanjang pesisir sejak dua hari lalu. - Foto: Bernama
A
A
A

CHUKAI - Pantai Teluk Kalong dekat sini dicemari dengan arang batu sejak dua hari lepas yang dipercayai berpunca akibat tumpahan muatan sebuah tongkang yang hanyut di kawasan berkenaan.

Seorang pengunjung Ahmad Amadi Ali, 29, dari Paka, Dungun berkata, dia terkejut apabila melihat pepejal berwarna hitam di sepanjang pantai peranginan popular itu melibatkan jarak sejauh kira-kira 500 meter.

"Keadaan berkenaan menyebabkan saya membatalkan hasrat untuk mandi kerana bimbang air laut di kawasan ini telah tercemar dan boleh menjejaskan kesihatan kulit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang peniaga di Pantai Teluk Kalong, Ahmad Firdaus Che Yahaya, 43, berkata, dia menyedari tongkang yang membawa muatan arang batu itu hanyut tidak jauh dari pantai berkenaan pada Khamis lepas.

Beliau berkata, tongkang berkenaan kemudiannya terdampar di pantai itu sejak dua hari lepas dan terdapat tompokan berwarna hitam di dasar laut beberapa meter dari pesisir pantai.

"Selepas itu, kawasan pantai mula dipenuhi arang batu apabila bahan pepejal berkenaan dihanyutkan ombak ketika air laut pasang,” katanya.

Razali meninjau bahan pepejal berwarna hitam, dipercayai arang batu, yang terdampar di Pantai Teluk Kalong dekat sini. - Foto: Bernama
Razali meninjau bahan pepejal berwarna hitam, dipercayai arang batu, yang terdampar di Pantai Teluk Kalong dekat sini. - Foto: Bernama

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera bagi membersihkan pantai yang dicemari arang batu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, tindakan pantas perlu diambil bagi memastikan pantai berkenaan yang merupakan antara lokasi tumpuan pelancong di daerah ini kembali bersih.

Razali berkata, dua lagi kawasan pantai berhampiran, iaitu Pantai Telaga Simpul dan Pantai Senajang turut dilaporkan dicemari arang batu.

Sementara itu, Pengarah JAS Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, arang batu di pantai berkenaan bukan bahan buangan terjadual dan tidak menjejaskan alam sekitar.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak JAS masih menjalankan pemantauan berterusan bagi menjamin keselamatan pengunjung.

"JAS telah berbincang dengan wakil pemilik tongkang berkenaan pada Ahad termasuk berkaitan kerja-kerja pembersihan pantai," katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Pantai Teluk Kalong dekat Chukai dicemari dengan arang batu yang dipercayai dari tumpahan muatan tongkang
  • Pengunjung membatalkan hasrat mandi kerana bimbang kesihatan kulit terjejas akibat pencemaran
  • Peniaga menyedari tongkang hanyut tidak jauh dari pantai dan arang batu mula memenuhi pantai ketika air pasang
  • Jabatan Laut Malaysia dan JAS diarahkan mengambil tindakan segera untuk membersihkan pantai
  • Dua lagi kawasan pantai berhampiran, Pantai Telaga Simpul dan Pantai Senajang, turut dicemari arang batu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!