Pelumba lebuh raya Malaysia diingatkan jangan terlalu yakin

Pelumba negara perlu lebih berhati-hati kerana Thailand, Indonesia dan Filipina turut menghantar skuad profesional dalam acara itu yang akan berlangsung di Siem Reap.- Gambar hiasan
Pelumba negara perlu lebih berhati-hati kerana Thailand, Indonesia dan Filipina turut menghantar skuad profesional dalam acara itu yang akan berlangsung di Siem Reap.- Gambar hiasan
A
A
A

SKUAD berbasikal lebuh raya elit lelaki negara diingatkan agar tidak terlalu yakin dengan status profesional mereka sehingga menjejaskan peluang untuk mempertahankan pingat emas acara lepas beramai-ramai pada Sukan SEA 2023.

Tampil dengan kombinasi dua kelab ternama Terengganu Cycling Team (TSG) dan Sapura Cycling Team (TSC), pasukan negara dianggap pilihan utama bagi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi di Hanoi, Vietnam, tahun lepas.

Pengurus pasukan skuad berbasikal lebuh raya negara, Norazman Abu Samah menasihatkan pelumba negara agar lebih berhati-hati kerana Thailand, Indonesia dan Filipina turut menghantar skuad profesional dalam acara itu yang akan berlangsung di Siem Reap terletak kira-kira 320 kilometer dari ibu negara Kemboja ini.

"Di atas kertas skuad lebuh raya Malaysia dianggap sangat kuat kerana memiliki pelumba profesional TSG dan Sapura (TSC). Bagaimanapun, jangan pandang rendah kekuatan Thailand, Indonesia atau Filipina.

"Saya juga minta jangan pandang rendah kehebatan pelumba Laos. Mereka pernah buat kejutan di Sukan SEA 2013 di Myanmar. Walhal ketika itu, pelumba Malaysia di hadapan dan perlumbaan tinggal 30 kilometer sahaja,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada Isnin.

Norazman, yang juga Naib Presiden PKBM, menegaskan kesemua pelumba mesti bekerjasama dan mengetepikan status kelab masing-masing bagi merealisasikan impian mempertahankan pingat emas di Siam Reap nanti.

"Mereka mesti kekalkan semangat sebagaimana ditunjukkan di Vietnam. Dalam hal ini, saya memuji kehebatan Datuk Ng Joo Ngan yang bijak mengatur strategi dan mengambil hati pelumba profesional pada temasya lepas,” katanya.

Pada temasya kali ini, skuad lebuh raya negara diramal berpeluang besar untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan kriterium sekali gus menguatkan harapan untuk diselitkan ke Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China, September ini.

"Saya sudah tegaskan kepada mereka bahawa tiket untuk ke Sukan Asia banyak bergantung kepada kejayaan di Sukan SEA 2023. Saya harap mereka tahu implikasi kemenangan di Kemboja,” katanya.

Acara berbasikal lebuh raya akan berlangsung bermula Khamis ini. - Bernama