Batu Penyu di Rantau Abang terbiar 'menangis'

Struktur Batu Penyu yang memiliki kisah legenda yang dikaitkan dengan pendaratan penyu di pantai Rantau Abang berisiko diancam hakisan dan tidak dapat menjadi tatapan generasi akan datang.
Struktur Batu Penyu yang memiliki kisah legenda yang dikaitkan dengan pendaratan penyu di pantai Rantau Abang berisiko diancam hakisan dan tidak dapat menjadi tatapan generasi akan datang.
A
A
A

DUNGUN - Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Kawasan Dungun kecewa dengan keadaan struktur batu menyerupai penyu di Bukit Che Hawa, Rantau Abang, dekat sini yang pernah menjadi tumpuan pelancong suatu ketika dahulu kini terbiar tanpa diselenggara pihak berkuasa.

Timbalan Pengerusi PSM Kawasan Dungun, Che Mat Nor Abd Llah berkata, struktur itu yang dikenali sebagai Batu Penyu oleh penduduk tempatan mempunyai kisah legenda yang dikaitkan dengan pendaratan penyu di pantai Rantau Abang.

Beliau berkata, jika tiada tindakan segera dilakukan, dikhuatiri batu berkenaan akan diancam hakisan sekiranya terus terdedah kepada faktor semula jadi seperti cuaca apabila bumbung yang dibina bagi melindunginya telah rosak.

"Kalau terus dibiarkan, Batu Penyu yang bersejarah itu mungkin tidak dapat menjadi tatapan generasi akan datang," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Che Mat Nor berkata, kawasan sekitar juga tidak diselenggara apabila dipenuhi semak samun selain jalan menuju ke batu itu juga rosak sehingga menyukarkan pelancong untuk berkunjung dan bergambar.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini pernah menyalurkan peruntukan yang besar untuk mengindahkan kawasan berkenaan, namun tiada penyelenggaraan dilakukan pihak terlibat selepas itu sedangkan ia antara tarikan pelancongan di Dungun dan negeri ini.

"Saya percaya Batu Penyu itu akan kembali menarik pelancong ke Rantau Abang sekiranya kerajaan memberi tumpuan membangunkan semula kawasan itu sempena Tahun Melawat Terengganu 2027," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PSM Kawasan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata, pihaknya akan berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan Batu Penyu dan persekitarannya kembali terurus.

"Kami akan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mencari kaedah bagi membaiki dan memajukan persekitaran kawasan terbabit," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun kecewa struktur batu menyerupai penyu di Bukit Che Hawa terbiar tanpa diselenggara
  • Struktur itu memiliki kisah legenda yang dikaitkan dengan pendaratan penyu di pantai Rantau Abang
  • Jika tidak diselenggara, batu tersebut berisiko diancam hakisan dan tidak dapat menjadi tatapan generasi akan datang
  • Kerajaan pernah menyalurkan peruntukan untuk mengindahkan kawasan tetapi tidak ada penyelenggaraan selepas itu
  • PSM berusaha mencari penyelesaian dengan bantuan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membaiki dan memajukan persekitaran kawasan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!