RM4.1 juta nilai rampasan KPDNHEP Perak

Ravichandran bersama Pengurus Besar Econsave Perak, Chua Yong Chiang (dua, kanan) memeriksan harga barangan sempena Ops Catut 6.0 hari ini.
Ravichandran bersama Pengurus Besar Econsave Perak, Chua Yong Chiang (dua, kanan) memeriksan harga barangan sempena Ops Catut 6.0 hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merekodkan nilai rampasan lebih RM4.1 juta membabitkan 1,261 kes tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, V Ravichandran berkata, kes itu juga membabitkan kutipan kompaun berjumlah RM363,200.

"Dalam tempoh 1 Januari hingga 24 Disember (hari ini), kita telah memeriksa 75,901 premis di bandar dan 11,413 premis luar bandar dengan 1,261 kes pelbagai kesalahan.

"Daripada kes dihasilkan itu, kita berjaya mencatatkan nilai denda yang diperolehi daripada kes didakwa di mahkamah sebanyak RM137,100 sementara nilai lucut hak yang dijadikan hasil kerajaan berjumlah RM340,144.83," katanya pada sidang media sempena Pemeriksaan Ops Catut 6.0 di Pasaraya Econsave Bercham di sini hari ini.

Menurutnya, kesalahan paling tinggi dikesan sepanjang tempoh itu adalah membabitkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Kita dapati masih ramai kalangan peniaga gagal meletakkan tanda harga dengan sebahagian kecil barangan tidak mempunyai pelabelan oleh pengeluar, pengimport, pengedar dan pemborong. Bagi kesalahan ini sahaja, sebanyak 520 kes dihasilkan.

"Begitu juga berkaitan alat timbang dan sukat di mana 409 kes mendapati peniaga gagal menentusahkan peralatan mengikut akta ditetapkan," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sebanyak 43 notis pengesahan harga telah dikeluarkan di bawah Ops Catut 6.0 membabitkan 43 premis merangkumi pengilang, pemasaran am, pengedar, pemborong dan peruncit di negeri ini sejak 1 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemeriksaan itu melibatkan 215 jenis barangan makanan dan minuman, barangan isi rumah, tekstil, perabot, kasut dan barangan elektrik.

"Penguatkuasaan ini melibatkan tiga fasa sehingga Jun depan. Kita akan menilai semula kategori-kategori barangan ini sama ada berlaku atau tidak sebarang perubahan harga jualan.

"Ini bagi menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga dengan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara tidak terkawal terutama dengan perlaksanaan dasar baharu kerajaan menerusi Program Subsidi Petrol (PSP) yang dijangka memberi impak secara tidak langsung ke atas harga barangan," katanya.