Op Pagar Laut: 18 tangkapan, nilai rampasan RM7.3 juta

Saiful Lizan (dua dari kiri) mendengar penerangan berhubung pelaksanaan Op Pagar Laut yang dilaksanakan bermula 9 hingga hujung bulan ini.
Saiful Lizan (dua dari kiri) mendengar penerangan berhubung pelaksanaan Op Pagar Laut yang dilaksanakan bermula 9 hingga hujung bulan ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 18 kes tangkapan dilakukan dalam Op Pagar Laut dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM7.3 juta bermula 9 hingga 17 April.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), merangkap pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, daripada jumlah tangkapan itu, sebanyak enam kes melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terdiri daripada 16 individu dari pelbagai negara.

Saiful Lizan berkata, tiga kes masing-masing melibatkan penyeludupan kontraband rokok dan pencerobohan bot nelayan asing, diikuti aktiviti penyeludupan barang kawalan minyak masak (satu kes) serta lima kes berkaitan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952).

Saiful Lizan meninjau aset Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Pagar Laut bermula 9 April hingga hujung bulan ini.
Saiful Lizan meninjau aset Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Pagar Laut bermula 9 April hingga hujung bulan ini.

"Kejayaan ini adalah hasil rutin rondaan serta penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh 800 pegawai dan anggota penguat kuasa ditugaskan.

"Op Pagar Laut ini turut diperkuatkan dengan penugasan sebanyak 45 buah aset yang pelbagai daripada Maritim Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjaun udara sempena Op Pagar Laut di sekitar kawasan perairan Selangor.

Saiful Lizan berkata, selain maklumat perisikan, maklumat daripada radar SWASLA Maritim Malaysia dan maklumat awam banyak menyumbang kepada kejayaan tangkapan operasi kali ini.

Sehubungan itu menurut beliau, Maritim Malaysia telah memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutama di sempadan Malaysia dengan Thailand serta Indonesia.