Bantu pusat jagaan kanak-kanak OKU swasta

DJ Dave dan Mei Sze (berdiri, empat dari kanan) beramah mesra bersama tetamu pada Karnival Sukan Kanak-Kanak OKU di Dewan D’ Kelana Kompleks Sukan MBPJ Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Sabtu.
DJ Dave dan Mei Sze (berdiri, empat dari kanan) beramah mesra bersama tetamu pada Karnival Sukan Kanak-Kanak OKU di Dewan D’ Kelana Kompleks Sukan MBPJ Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor dan pihak berkuasa daerah perlu bertanggungjawab membantu pusat jagaan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) swasta di negeri ini.

Pengerusi Yayasan kebajikan Artis Tanahair, Datuk DJ Dave berkata, sewajarnya segala keperluan mereka dipermudahkan termasuklah dari sudut sokongan pendidikan dan kewangan.

"Kita mesti peka bahawa anak-anak ini memerlukan perhatian, kasih sayang dan penghargaan.

"Saya berharap pihak berkaitan sentiasa memberi perhatian dan keperluan khusus untuk anak-anak istimewa ini," katanya ketika berucap pada Karnival Sukan Kanak-Kanak OKU di Dewan D’ Kelana Kompleks Sukan MBPJ Kelana Jaya, Petaling Jaya pada Sabtu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dan jawatankuasa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

DJ Dave memberitahu, semua pihak seharusnya memberi perhatian kepada keperluan dan memantau pengurusan pusat jagaan kanak-kanak swasta.

Beliau berkata, pada masa sama kanak-kanak di pusat jagaan itu perlu diberikan latihan dan bimbingan dari segi pengurusan diri serta kemahiran seperti sosial dan vokasional.

"Saya juga berharap komuniti yang mempunyai anak OKU mendaftarkan mereka di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menikmati keistimewaan pemegang kad OKU," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai program itu, DJ Dave berkata, program 'Let's Play Carnival' itu dianjurkan Pusat Jagaan dan Latihan Insan Istimewa (IMC) bersama rakan-rakan strategiknya.

Beliau berkata, IMC telah bertungkus-lumus menjayakan karnival itu meskipun terdapat halangan dan ujian semasa menjayakan program berkenaan.

Jelas beliau, program itu sebenarnya menjadi platform kepada semua pihak untuk memastikan anak-anak syurga diraikan dalam suasana membahagiakan.

"Mereka mempunyai hak untuk menerima keistimewaan dan layanan sama rata seperti anak-anak yang normal.

"Program hebat ini memerlukan sokongan semua pihak untuk menerajui hala tuju anak-anak syurga ini dan usaha dilakukan ICM merupakan model terbaik dalam mempertingkatkan perkhidmatan kepada kumpulan istimewa ini," jelas beliau.