KPWKM pandang serius kebajikan kanak-kanak terbuang

Nancy (tiga dari kiri) ketika hadir pada Persidangan PPDK Peringkat Kebangsaan 2023 pada Isnin.
Nancy (tiga dari kiri) ketika hadir pada Persidangan PPDK Peringkat Kebangsaan 2023 pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - [KEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil perhatian kegusaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung cadangan pindaan kewarganegaraan membabitkan kanak-kanak yang terpinggir atau terbuang yang dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, KPWKM menerima banyak respons daripada pihak NGO mengenai perkara itu dan mereka mahu kementeriannya membantu dari segi memberi perlindungan kepada kanak-kanak terutamanya Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan berkenaan Perkara 14(1)(b).

Menurut Nancy, pertemuan akan diadakan antara pihak NGO dan KDN dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan pindaan tersebut.

"Saya telah bercakap dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pagi tadi (Isnin) dan berbincang, beliau sendiri sangat responsif selain menyatakan akan mengadakan pertemuan (engagement) dengan NGO-NGO tertentu di negara ini dalam masa terdekat.

"Kita masih ada masa... saya harap ada perkembangan baharu melalui sesi perjumpaan itu. Saya mahukan yang terbaik bagi melindungi kanak-kanak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Peringkat Kebangsaan 2023 pada Isnin.

Berdasarkan seksyen itu, ia menyatakan setiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan tersebut.

Dalam pada itu, Nancy berkata, sehingga April 2023 terdapat 564 buah PPDK di seluruh Malaysia yang memberi manfaat kepada 18,760 orang kurang upaya (OKU) dan 5,144 penyelaras dan petugas.

"KPWKM yakin dengan kewujudan PPDK di seluruh negara akan menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang sistematik, tersusun dan terancang dalam menjaga pemulihan, keselamatan dan pembangunan OKU.

"Sehingga 31 Mei 2023, sejumlah 654,270 OKU telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pendaftaran ini tertakluk kepada Akta OKU 2008 (Akta 685) dan dilakukan secara sukarela atas tanggungjawab sosial," katanya.