Impian miliki banglo idaman musnah, wang RM80,000 pun lesap

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian RM86,000 selepas terpedaya dengan promosi yang menjanjikan pembinaan kediaman idaman pada harga mampu milik.

Senin Untung, 62, berkata, beliau menginginkan sebuah rumah banglo di atas tanah sendiri dan ejen projek itu menjanjikan untuk membina rumah idaman itu dengan harga yang sangat murah.

"Ejen berkenaan telah membuat perjanjian selama tiga bulan dan dalam perjanjian itu saya diminta membayar wang secara one-off iaitu RM86,000.

"Saya pun mengeluarkan wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk buat rumah dan ejen berkenaan datang tanah lapang membuat ukuran kawasan,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Senin berkata, setelah beberapa bulan, ejen berkenaan senyap dan menghilangkan diri walaupun telah dihubungi.

Seorang lagi mangsa, Zimah Ismail, 45, berkata, beliau membayar RM100,000 dan dijanjikan rumahnya akan siap dalam masa enam bulan tetapi apa yang terjadi, selepas empat bulan hanya batu-bata yang naik dan terus ditinggalkan begitu sehingga kini.

"Sudah dua kali pembayaran dibuat, pertama berjumlah RM43,000 dan seterusnya RM57,000. Namun rumah saya masih terbengkalai. Sakit hati tengok, duit sudah habis tapi rumah tak nampak.

"Sudah banyak kali saya menghubungi koperasi terbabit namun tidak berjawab. Surat perjanjian yang lengkap dan telah dimatikan setem semua masih saya simpan hingga kini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mendedahkan kegiatan itu hari ini menyerahkan pernyataan tambahan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkaitan skim pelaburan dan pakej pembinaan hartanah meragukan.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, MHO menerima lebih 90 aduan daripada mangsa berhubung skim pelaburan dan pakej pembinaan hartanah sebuah koperasi perumahan yang menawarkan pakej serendah RM150,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi.

"Hari ini kami menyerahkan pernyataan tambahan antaranya gambar beberapa lot tanah yang gagal dibangunkan oleh koperasi perumahan terbabit yang terletak di Simpang Renggam dan Pontian, Johor; dan Paya Jaras di Selangor,” katanya.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima pernyataan tambahan itu dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 409 KK (pecah amanah) dan Seksyen 415 (perdaya). - Bernama.