Pesara kerajaan rugi lebih RM100,000 diperdaya 'Datuk'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM113,000 akibat terpedaya dengan sindiket phone scam yang menggunakan gelaran Datuk.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan kes itu diterima daripada mangsa berusia 67 tahun dan merupakan pesara kerajaan pada Khamis.

Menurutnya, mangsa yang juga ibu tunggal beralamat dari Taiping telah dihubungi seorang lelaki awal Jun lalu yang memperkenalkan diri daripada sebuah syarikat penghantaran barang.

Katanya, lelaki itu mengatakan terdapat satu bungkusan mengandungi nombor kad pengenalan milik mangsa telah dihantar ke satu alamat rumah di Perlis yang tidak berpenghuni sebelum dibawa ke balai polis.

"Mangsa kemudiannya bercakap dengan seorang yang menyamar sebagai anggota polis mendakwa kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan dadah.

"Selepas itu, mangsa telah disambungkan kepada seorang lelaki menggelarkan diri sebagai Datuk yang memintanya mendedahkan semua maklumat akaun bank," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, akibat ketakutan, wanita itu memberikan semua maklumat perbankan miliknya termasuk aplikasi dalam talian di telefon bimbit dan mendepositkan lebih RM10,900 ke satu akaun diberikan lekaki berkenaan.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas semakan dibuat pada Khamis mendapati terdapat lapan transaksi pindahan wang berjumlah RM102,950 ke atas tiga akaun yang tidak dikenali berlaku pada 12 Jun lalu.

"Mangsa cuba menghubungi suspek, namun gagal sebelum membuat satu laporan polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!