Bayaran PKKP legakan pesara kerajaan - Cuepacs

(Dari kiri) Adnan Mat bersama Anwar Ibrahim.
(Dari kiri) Adnan Mat bersama Anwar Ibrahim.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bukan sahaja melegakan pesara kerajaan, tetapi juga dapat membantu mereka yang terkesan dengan kos sara hidup.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember tahun ini dibayar menggunakan amaun asal.

“Keputusan ini adalah langkah tepat bagi membantu golongan pesara yang turut terkesan dengan kos sara hidup semasa.

“Sekiranya pemberian PKKP tidak dilaksanakan, sudah pasti bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Disember 2012, manakala mereka yang mulai bersara 2013 dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 12 Julai, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember tahun ini dibayar menggunakan amaun pencen asal selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan mengambil maklum akan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023 yang memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

Dalam pada itu, menurut Adnan, perkara itu dapat diselesaikan sebelum 31 Disember tahun ini bagi membolehkan tiada isu berbangkit berlaku kepada pesara kerajaan membabitkan bayaran pencen mereka.

Tambahnya, pelarasan tersebut mengakibatkan bayaran pencen kurang berbanding bayaran yang diterima pada Jun 2023, bayaran PKKP hendaklah diteruskan supaya pesara kerajaan dapat menikmati amaun yang sama mereka terima pada Jun 2023.

“Kami berharap kerajaan dapat menyegerakan semakan gaji perkhidmatan awam yang turut akan melibatkan pesara-pesara kerajaan,” katanya.