Malaysia, Liga Arab, OIC pantau perkembangan semasa Palestin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menikmati makan tengah hari di Restoran Ramli Corner. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menikmati makan tengah hari di Restoran Ramli Corner. - Foto Bernama
A
A
A

DENGKIL - Malaysia akan terus bekerjasama dengan Liga Arab dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memantau perkembangan semasa konflik Palestin-Israel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita sekarang duduk (sedang) bekerjasama dengan OIC dan Liga Arab, tiap-tiap hari ada rundingan perkembangan semasa.

"Namun keutamaan kebanyakannya ialah soal kemanusiaan dan menghentikan serangan. Itu keutamaan negara Islam," katanya kepada media ketika ditemui selepas menjamu selera di Kedai Makan Ramli Corner di sini pada Jumaat.

Anwar berkata demikian ketika ditanya adakah Malaysia akan memboikot Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersama dengan OIC dan Liga Arab, susulan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menolak resolusi gencatan senjata di kawasan konflik berkenaan yang diusulkan Rusia.

Beliau berkata, Malaysia juga tegas dengan pendirian bahawa hak rakyat Palestin mesti dikembalikan meskipun UNSC gagal mencapai keputusan berhubung tindakan menghentikan peperangan itu.

"Kita tak peduli apa keputusan yang lain, tapi pendirian kita ialah hak rakyat Palestin mesti diberi. Soal tanah dia, harta dia, maruah dia. Yang segera ialah menghentikan serangan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan, itu keutamaan kita sekarang.

"Kita terus adakan hubungan dan ambil tindakan bersama (dengan OIC dan Liga Arab), tetapi soal bantuan kemanusiaan, makanan, perubatan, itu kita segerakan dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi beri jaminan bahawa bantuan makanan, sebaik ada dari kerajaan (Malaysia), dia akan segerakan untuk pendaratan di Rafah," katanya.

Media melaporkan UNSC gagal mencapai kata sepakat mengenai resolusi gencatan senjata yang diusulkan oleh Russia.

Pada Persidangan UNSC berhubung konflik yang berlaku di wilayah Palestin itu, PBB melaporkan bahawa kegagalan itu disebabkan usul berkenaan tidak mendapat sokongan sekurang-kurangnya sembilan negara anggota UNSC.

Dalam undian yang dibuat, usul itu hanya diterima oleh empat negara anggota iaitu Rusia (pembawa usul), China, Gabon, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Artikel Berkaitan:

Usul itu ditolak oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom, manakala sembilan negara anggota memutuskan untuk berkecuali iaitu Albania, Brazil, Ecuador, France, Ghana, Japan, Malta, Mozambique dan Switzerland.

Mengulas program Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan dakwaan ada kanak-kanak membawa pistol mainan semasa program itu berlangsung di sekolah, Anwar berkata perkara itu perlu dikawal.

"Tadi kita bincang di mesyuarat Kabinet, pertama kita galakkan (penganjuran program), tak paksa semua sekolah. Keduanya kita kena kawal supaya jangan jadi masalah," katanya.

Sementara itu mengulas dakwaan sebuah syarikat tempatan bahawa harga beras masih tinggi di Malaysia kerana barang keperluan asas itu dimonopoli oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas), Anwar berkata, setakat ini kerajaan dapat memastikan bahawa harga beras import Bernas masih terkawal dan mengikut harga antarabangsa. - Bernama