Mapim sokong kelantangan Anwar suara hak Palestin

Mohd Azmi - Foto Bernama
Mohd Azmi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyokong kelantangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyuarakan hak Palestin dan mengkritik tindakan negara barat yang bersikap hipokrit terhadap keganasan rejim Zionis.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim dan seluruh rakyat akan berdiri teguh di belakang Anwar sekiranya Malaysia menerima dari negara barat.

Menurutnya, Israel merupakan pengganas sebenar selepas segala jenayah yang dilakukan ke atas Palestin.

“Sikap ‘double standard’ barat dalam isu Palestin sangat jelas. Jenayah perang dan pembunuhan besar-besaran yang dilakukan oleh Israel lebih 75 tahun ke atas Palestin telah didukung oleh negara Barat, terutama AS dan United Kingdom.

“Jelas negara barat bukan sahaja merestui jenayah Israel, malah membekal dana dan senjata tercanggih untuk Israel melakukan pembantaian paling kejam berterusan ke atas warga Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, Anwar yang juga Menteri Kewangan mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya turut menzahirkan sokongan terhadap cadangan Anwar yang mengambil pendekatan untuk beralih menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS) kepada mata wang alternatif lain dalam perdagangan dunia.

Tambah beliau, sudah tiba waktunya untuk Malaysia tidak bergantung kepada negara barat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Mapim menzahirkan pendirian bersama kerajaan dengan memastikan kedaulatan ekonomi tidak tergugat.

“Malaysia harus berdaulat mempertahankan haknya untuk bersuara atas hujah prinsip kebenaran, keadilan dan kemanusiaan serta berdasarkan undang-undang antarabangsa.

“Seluruh rakyat Malaysia bangga dengan pendirian Perdana Menteri dan akan bersama menyuarakan isu Palestin tanpa gentar dan takut sehingga hak Palestin dikembalikan,” ujarnya.