PM diugut: Malaysia perlu hantar nota kepada kedutaan negara terlibat

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Ahmad Fadhli)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Ahmad Fadhli)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mendedahkan negara yang melakukan ugutan serta menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, kerajaan perlu bertindak tegas dan menghantar nota bantahan kepada kedutaan negara terlibat yang berada di Malaysia.

"Apabila kita dengar Perdana Menteri kata beliau menerima ugutan, ancaman, tekanan dan sebagainya, saya fikir menteri (Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) kena dedahkan negara mana yang berani menekan dan mengugut Perdana Menteri yang kita sayang ini.

"Kita tidak sanggup melihat Perdana Menteri ditekan dan diugut seperti ini. Kalau mereka berani menekan perdana menteri kita, Malaysia harus menghantar nota bantahan kepada kedutaan negara mereka yang ada di negara ini," katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum ini Anwar ketika berucap pada 'Himpunan Malaysia Bersama Palestin' di Axiata Arena Bukit Jalil, Selasa lalu mendedahkan menerima ugutan susulan ketegasan Malaysia, sekali gus memberi kata dua kepada negara yang cuba 'mengajar' mengenai erti sebenar hak asasi, kebebasan dan demokrasi.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak sesekali gentar bahkan akan terus konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang dianiaya rejim Zionis Israel.

Sementara itu Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagaimanapun tidak menamakan negara yang didakwa membuat ugutan itu, namun menegaskan negara tidak gentar dengan sebarang ugutan dilakukan oleh negara tersebut.

"Saya fikir dalam dewan ini elok kita tak namakan siapa mereka, tetapi seperti mana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri berkali-kali bahawa kita tidak gentar dengan sebarang ugutan yang dilakukan oleh pihak mereka," jelasnya.

Artikel Berkaitan: