Isu Palestin: PM guna pendekatan 'connecting the dots'

Zambry ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
Zambry ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan 'connecting the dots' atau penghubung kepada beberapa pemimpin dunia dalam mencari solusi terhadap konflik Israel-Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha Ahli Parlimen Tambun itu merupakan pendekatan kali pertama dilakukan Malaysia dalam situasi yang sangat serius seperti ini.

"Kita tidak boleh hanya duduk sekadar mengecam atau menyampaikan bantahan, tetapi mesti ada langkah-langkah lebih mantap, tegas dan membawa seluruh dunia Islam. Setidak-tidaknya dalam konteks Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk sama menyatakan pendirian.

"Lantaran itu, dalam mesyuarat Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-ASEAN lalu, Perdana Menteri mengambil kesempatan itu bersama pemimpin ASEAN dan GCC untuk berinteraksi dengan mereka dan menyampaikan pendirian Malaysia.

“Dalam pada berada di sana, beliau ambil kesempatan untuk berada dari satu tempat ke satu tempat, dari Riyadh (Arab Saudi), pergi ke Turkiye kemudian pergi ke Cairo (Mesir), kerana itu adalah antara beberapa negara yang sangat penting peranannya dalam menentukan perjuangan kita selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, perpaduan dan suara bersama dari negara terlibat sangat penting dan Malaysia juga berperanan demikian ekoran berada dalam kelompok itu.

"Dalam pertemuan yang saya hadiri bersama Mohammed Salman (Putera Mahkota Arab Saudi); Recep Tayyip Erdogan (Presiden Turkiye) dan Abdel Fattah al-Sisi (Presiden Mesir), saya menyaksikan bagaimana harapan pemimpin ini melihat Malaysia dapat memainkan peranan sangat penting dalam istilah 'connecting the dots'.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak menafikan apa yang dilakukan oleh pemimpin kita sebelum ini, kerana Malaysia terkenal sejak 1957 lagi sebagai negara yang sentiasa memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

"Setiap Perdana Menteri mempunyai peranan mereka, tetapi dalam konteks Perdana Menteri (Anwar) kita, beliau mengambil langkah yang lebih jauh untuk bersama-sama dengan kalangan pemimpin Islam di seluruh dunia, termasuk pemimpin negara bukan Islam," katanya.