Isu Palestin: Ketegasan Malaysia dipuji pendakwah antarabangsa

Rais (kanan) AlHabib Hasan Ja'afar As-Segaf (dua dari kiri) dan AlHabib Ali Zaenal Abidin (empat dari kiri) ditemui selepas selesai Program Tangga Batu Berselawat dan Doa Munajat Palestin Maulid Arbain Malam Ke-40 di Masjid Cina, Krubong, di sini, pada malam Rabu.

A
A
A

MELAKA - Pendakwah Islam antarabangsa memuji ketegasan yang ditunjukkan rakyat dan pemimpin negara ini dalam membela nasib rakyat Palestin.

Pemimpin Majelis Nurul Musthofa, AlHabib Hasan Ja’afar As-Segaf dari Indonesia berkata, apa yang dilakukan Malaysia begitu luar biasa dan seharusnya dicontohi negara Islam lain.

Menurutnya, kelantangan suara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakyat dalam isu penindasan rakyat Palestin oleh rejim Zionis perlu diikuti umat Islam, lebih-lebih lagi rakyat Palestin adalah sahabat dan saudara se-islam.

"Sangat luar biasa satu hal yang harus dicontohi oleh semua negara yang ada untuk bantu saudara kita yang berada di bumi Palestin.

"Satu daripada kekuatan Malaysia kerana doa dipanjatkan itu diperlukan rakyat Palestin dan tidak perlu takut dengan sebarang ugutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Tangga Batu Berselawat dan Doa Munajat Palestin Maulid Arbain Malam Ke-40 di Masjid Cina, Krubong, di sini, pada malam Rabu.

Rais dan AlHabib Hasan Ja'afar As-Segaf (tengah) ketika program Program Tangga Batu Berselawat dan Doa Munajat Palestin Maulid Arbain Malam Ke-40 di Masjid Cina, Krubong, di sini, pada malam Rabu.
Rais dan AlHabib Hasan Ja'afar As-Segaf (tengah) ketika program Program Tangga Batu Berselawat dan Doa Munajat Palestin Maulid Arbain Malam Ke-40 di Masjid Cina, Krubong, di sini, pada malam Rabu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin dan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Anwar mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Anwar berkata, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.

Sementara itu, pendakwah Indonesia, AlHabib Ali Zaenal Abidin Faisal AlMadihij berkata, Malaysia perlu terus berani dan tetap pendirian untuk mempertahankan rakyat Palestin meskipun ditentang negara Barat.

"Malaysia tidak perlu takut, namun harus lebih takut jika berundur," katanya.