Isteri maut, suami cedera ringan motosikal dirempuh lori

Keadaan lori yang terbabas ke dalam parit selepas terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal di Jalan Kampung Sri Bahrom, Rengit pada petang Khamis. - Foto Polis Batu Pahat
Keadaan lori yang terbabas ke dalam parit selepas terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal di Jalan Kampung Sri Bahrom, Rengit pada petang Khamis. - Foto Polis Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang pembonceng wanita maut selepas motosikal yang dinaiki bersama suami terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kampung Sri Bahrom, Rengit, pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang ketika pasangan suami isteri berkenaan dalam perjalanan dari arah Kampung Sri Bahrom menuju ke Rengit.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang lelaki berusia 71 tahun dan isterinya berusia 50 tahun itu telah memotong sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun.

“Selepas memotong lori berkenaan dengan secara tiba-tiba penunggang memberhentikan motosikal untuk masuk ke simpang jalan sebelah kanan.

“Perkara itu menyebabkan pemandu lori gagal berhenti (brek), lalu merempuh motosikal berkenaan menyebabkan pembonceng terperosok ke bawah lori yang kemudiannya terbabas ke dalam parit di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ismail berkata, pembonceng motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk bedah siasat.

Ujarnya, penunggang motosikal yang terjatuh di bahu jalan hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu lori yang juga berasal dari Rengit, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, pihak polis akan memanggil pemandu lori terbabit untuk memberikan keterangan.

Artikel Berkaitan:

"Polis juga meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik di talian 07-4327704 bagi membantu siasatan," katanya.