Pelajar Tingkatan Empat maut motosikal bergesel lori

Mangsa dibantu orang awam sebelum dihantar ke Hospital Pasir Mas.
Mangsa dibantu orang awam sebelum dihantar ke Hospital Pasir Mas.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pelajar lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan dua buah lori di Taman Tengku Anis Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas pada Khamis.

Mangsa yang juga pelajar lelaki Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kiambang disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pasir Mas akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.45 petang ketika mangsa menunggang motosikal dari rumahnya menghala ke Pasir Mas untuk mengisi minyak di Petronas Gaung.

Menurut beliau, mangsa kemudian dipercayai bergesel dengan sebuah lori yang berada di laluan utama menghala ke Pasir Mas.

"Akibat pergeselan itu, mangsa jatuh ke laluan bertentangan. sebelum dilanggar sebuah lori lain kerana jarak yang terlalu dekat dengan lori berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.