Wang simpanan lebih RM100,000 lesap angkara 'phone scam'

Mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional pada 20 Oktober lalu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Yahaya Othman
Mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional pada 20 Oktober lalu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Yahaya Othman
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengurus besar sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM106,253.75 lesap selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon pada Oktober lalu.

Kejadian berlaku apabila lelaki berusia 45 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional pada 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang menetap di Bentong itu dimaklumkan bahawa data peribadinya telah bocor selain bertanyakan mengenai penggunaan kad kredit.

"Mangsa telah memberikan maklumat dua akaun bank dan kad kredit miliknya untuk pengesahan kepada suspek.

"Kemudian mangsa juga telah mengesahkan TAC (kod pengesahan transaksi) yang diterimanya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Yahaya memberitahu mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada Sabtu selepas menyedari dirinya ditipu.

Katanya, mangsa turut mendapati wang simpanan daripada dua akaunnya telah lesap sehingga mengalami kerugian sebanyak RM 106,253.75.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memberikan butiran peribadi seperti nombor akaun dan sebagainya untuk tujuan siasatan secara sewenang-wenangnya.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan atas nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan melalui Check Scammers CCID atau melalui laman sesawang https:/ semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi atas talian.," katanya.