Warga emas rugi lebih RM200,000 ditipu 'phone scam'

Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM202,800 akibat terpedaya dengan penipuan melalui talian oleh penjenayah yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Bank Negara. - Gambar hiasan
Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM202,800 akibat terpedaya dengan penipuan melalui talian oleh penjenayah yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Bank Negara. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM202,800 akibat terpedaya dengan penipuan melalui talian (phone scam) oleh penjenayah yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Bank Negara.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan berkaitan kes itu diterima pada jam 10.55 pagi, Sabtu lalu.

Katanya, mangsa berusia 71 tahun itu menerima mesej memaklumkan kad kreditnya telah digunakan.

"Dia kemudiannya menghubungi nombor telefon yang diberikan sebelum disambung kepada 'Inspektor Loh Thee How' yang menyamar sebagai pegawai polis.

"Mangsa juga telah memberikan maklumat akaun bank kepada suspek dan setelah semakan dibuat terdapat pengurangan wang dalam akaun sebanyak RM110,000.

"Sebelum itu, antara 13 hingga 14 Julai lalu mangsa telah membuat lima kali transaksi pemindahan wang dari akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM202,800," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman meminta orang ramai berhati-hati terutama ketika berurusan secara atas talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Katanya, orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu talian telefon dan akaun bank yang digunakan suspek melalui aplikasi ‘Semak Mule’ yang disediakan secara atas talian oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

"Orang ramai juga diseru agar sentiasa mengikuti laman sosial JSJK seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengetahui modus operandi terbaharu jenayah komersil.

"Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek," katanya.