Bekas jurulatih menembak MSN Terengganu bebas tuduhan kes kematian

Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Ahad melepas dan membebaskan bekas jurulatih menembak MSN Terengganu, daripada pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, 13 tahun lepas.
Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Ahad melepas dan membebaskan bekas jurulatih menembak MSN Terengganu, daripada pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, 13 tahun lepas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad melepas dan membebaskan bekas jurulatih menembak Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, daripada pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, 13 tahun lepas.

Hakim Nooriah Osman membebaskan Zamil Ahmad Murad, 62, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah, terhadap kes pendakwaan.

Peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Zamil ketika dihubungi berkata, mahkamah melepaskan anak guamnya, selepas berpuas hati tindakan tertuduh adalah mempertahankan diri selepas diserang menggunakan pisau rambo.

Beliau berkata, 21 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk Zamil dipanggil pada perbicaraan yang bermula 7 Disember 2020 hingga 6 Ogos 2023.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat menyebabkan kematian Syed Haikar Iskandar Syed Mahdzar, 34, di kawasan semak di belakang sebuah rumah di Gong Badak, Kuala Nerus, antara jam 4.15 petang hingga 4.30 petang pada 1 Februari 2010.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki ditembak mati selepas cuba memecah masuk ke rumah jurulatih menembak MSN itu melalui pintu belakang.

Jurulatih terbabit yang ketika itu berada di pusat latihan menembak, pulang ke rumahnya selepas dihubungi isterinya yang memaklumkan ternampak kelibat lelaki cuba memecah masuk rumah mereka.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala Zamil diwakili barisan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Rahmat dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman.

Sementara itu, menurut kenyataan dikeluarkan Shafee & Co menyatakan kes bahawa anak guamnya telah bermula 10 Februari 2010, apabila beliau didakwa membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Syed Haikar Iskandar.

Menurut kenyataan itu, pada 12 Februari 2010 Peguam Negara pada masa itu telah memohon untuk Zamil dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Kenyataan itu memaklumkan, selepas itu satu inkues telah diadakan pada Mei 2012, yang memutuskan bahawa Zamil terlibat dalam punca kematian secara jenayah, telah menyebabkan satu proses perundangan yang panjang.

"Pihak pendakwaan yang mengikut keputusan inkues tersebut kemudiannya meminda pertuduhan kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian” menurut kenyataan itu. - Bernama